SHAH ALAM – Sindiket ah long kini dikesan semakin kejam apabila sanggup memaksa peminjam-peminjam mereka yang gagal melunaskan hutang untuk terlibat dalam kegiatan jenayah dengan menjadi penghantar dadah.
Ceti-ceti haram terbabit didapati mengambil kesempatan di sebalik desakan hidup yang dialami peminjam ah long ketika pandemik Covid-19.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, kumpulan ah long kini telah melakukan ‘inovasi’ dalam perniagaan mereka dengan terlibat dalam pengedaran dadah.
Menurutnya, kegiatan haram itu dipercayai dilakukan ekoran mereka juga terkesan akibat kekurangan bayaran semula hutang daripada peminjam atau pelanggan baharu.
“Kegiatan ini terbongkar hasil siasatan lanjut terhadap seorang lelaki berusia 25 tahun yang ditangkap di negeri ini pada 18 Mei lalu. Suspek didapati tidak mampu membayar hutang ah long kira-kira RM100,000 kerana tabiatnya yang suka berjudi.
“Kumpulan ah long kemudiannya melakukan ugutan dan ancaman kepada keluarga suspek sehingga menyebabkannya tertekan sebelum ditawarkan pekerjaan sebagai penghantar dadah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ahmad Jefferi berkata, menerusi tangkapan lelaki itu, polis merampas heroin base dan syabu bernilai RM11.09 juta.
Katanya, siasatan juga mendapati, suspek terbabit tidak pernah bertemu dengan kumpulan ah long kerana semua urusan pinjaman dilakukan menerusi panggilan telefon sebelum ini.
“Suspek baru sebulan menjadi penghantar dadah dan dia ditawarkan gaji sebanyak RM8,000 sebulan, namun RM3,000 akan ditolak untuk membayar hutang,” ujarnya.
Beliau memberitahu, urusan jual beli dadah dalam kuantiti besar ketika ini dilakukan tanpa bersemuka dengan pembayaran dilakukan secara online sebelum dadah diletakkan di kawasan tertentu untuk diambil oleh pembeli atau orang tengah.
Katanya, mereka juga hanya meninggalkan dadah di dalam kereta di tempat letak kenderaan dengan kunci kereta disorok di celah tayar.
“Ada juga kes di mana dadah disembunyikan di dalam peti surat, malah di dalam tong sampah bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Ahmad Jefferi mendedahkan terdapat penghantar dadah yang mendakwa kononnya mereka adalah ahli geng kongsi gelap bagi menampakkan ‘gah’ ketika berurusan dengan sindiket dadah.
Ujarnya, ada antara mereka ditawarkan upah antara RM500 hingga RM2,000 untuk satu perjalanan penghantaran dadah.
“Ini ekoran risiko tinggi yang terpaksa mereka hadapi terutama ketika melalui sekatan jalan raya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kegiatan jenayah itu dilakukan mereka apabila sukar mendapatkan pekerjaan ketika mengharungi krisis Covid-19,” ujarnya.
Pada Mac lalu, JSJN Sarawak menahan seorang lelaki yang mendakwa terpaksa menjadi pengedar dadah untuk membayar hutang ah long berjumlah RM10,000.
Lelaki itu ditahan bersama 23.8 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM955,500.
Suspek mendakwa telah dihubungi seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkannya pekerjaan sebagai pengedar dadah di sekitar Kota Samarahan.

Syabu yang paling berkualiti berwarna putih kristal dan diikuti dengan warna putih kemerahan. – GAMBAR HIASAN
Syabu paling popular di Selangor
SHAH ALAM – Polis Selangor merampas dadah bernilai RM555.4 juta dalam tempoh tiga tahun bermula 2019 sehingga 15 Jun tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, syabu didapati masih menjadi pilihan utama penyalahgunaan dadah termasuk pengedaran dengan merekodkan nilai rampasan sebanyak 3,529.7 kilogram (kg).
Menurutnya, dadah jenis itu dikatakan mampu menjadikan penagih lebih bertenaga dan memiliki keberanian luar biasa termasuk boleh berjaga tanpa tidur dalam tempoh yang lama.
“Dadah kedua paling banyak dirampas adalah ganja sebanyak 1,109.4kg, diikuti ketamin (582.1kg) dan heroin (469.1kg),” katanya kepada Kosmo!.
Ahmad Jefferi memberitahu, polis turut merampas 2,459.9kg daun ketum serta 565,673 liter air ketum, 1.27 juta biji pil erimin, 5.43 juta biji pil ekstasi dan 64 batang pokok ganja.
“Sindiket dadah sentiasa berevolusi dari segi pembuatan termasuk kini hanya memerlukan dapur makmal yang bersaiz kecil.
“Malah, mereka juga mengimport dadah dari negara jiran seperti Thailand dan membawa masuk menerusi rangkaian masing-masing di negara ini,” ujarnya.
Beliau berkata, polis telah menangkap seramai 37,267 individu berusia antara 13 hingga 41 tahun yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh 2019 hingga 15 Jun tahun ini.
Ujarnya, sebanyak 65 sindiket berjaya ditumpaskan dengan penangkapan 177 suspek.
“JSJN Selangor khususnya akan sentiasa meningkatkan risikan dan operasi dalam memastikan sindiket dadah dapat dihapuskan sepenuhnya,” katanya.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929















