fbpx

Sokongan MUAFAKAT lahir modal insan cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Quran Hour bertempat di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Perak pada Mac tahun lalu.

PETALING JAYA – Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (MUAFAKAT) sentiasa memainkan peranan aktif dalam memberi segala bentuk sokongan khususnya ke arah memacu kecemerlangan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej MARA (KM) dan Kolej Profesional MARA (KPM).

Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT), Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad berkata, tempoh pandemik tidak menjadi penghalang untuk pasukannya merancang pelbagai program bagi memperkasakan pelajar dalam mengharungi era pembelajaran yang mencabar pada masa ini.

“Program yang dirancang tidak terbatas kepada program akademik serta kokurikulum misalnya sejak tiga minggu lalu kami telah menganjurkan sesi penstriman langsung bacaan surah Yasin dan doa selamat pada setiap hari Khamis.

“Insya-Allah ia akan diteruskan dengan sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan sekitar 400 hingga 500 pelajar dan ibu bapa bagi setiap sesi yang diadakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

MUAFAKAT menganjurkan program larian dan kayuhan MARA melibatkan Ansara, pelajar MRSM, KM dan KPM di Taman Ekspo MAEPS, Serdang pada Mac tahun lalu.

Sayed Alfeizal berkata, pihaknya juga turut mengadakan program bicara kerjaya melibatkan perkongsian bekas pelajar MRSM yang melakar kejayaan dalam bidang yang diceburi pada setiap bulan bagi memberi inspirasi dan menaikkan semangat khasnya kepada pelajar daripada kumpulan B40 untuk berusaha keras mencapai impian masing-masing.

Selain itu, MUAFAKAT telah mengumpul dana bagi membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melibatkan kutipan mencecah RM100,000 pada tahun lalu.

Tambahnya, MUAFAKAT turut menawarkan diri untuk terlibat dalam aktiviti mingguan anjuran Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang menjadi tradisi MRSM sejak sekian lama antaranya pertandingan pidato, tilawah al-Quran, debat, syarahan di samping pertandingan acara sukan yang diadakan pada setiap minggu sebelum penularan koronavirus.

“Kami sedar masa dan tenaga kerja agak terbatas, namun kami tekad mengisi empat hingga enam slot dalam setahun dan menjadikannya acara besar-besaran misalnya Konsert Aspirasi Muzikal melibatkan 10 MRSM di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan semua tiket habis dijual pada acara dua hari itu.

“Pada tahun 2020, kami juga telah bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan pertandingan Debat Rakan Muda KBS 2020 dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan menjemput semua sekolah di Malaysia menyertainya,” ujarnya yang menjadi Presiden MUAFAKAT sejak September 2019.

Beliau berkata, pihaknya turut berperanan sebagai jambatan penghubung antara ibu bapa dengan pentadbir MRSM bagi mewakili suara mereka demi menambah baik prestasi pelajar sekali gus memastikan kebajikan anak-anak mereka terpelihara.

Selaku bekas pelajar MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan dari tahun 1986 hingga 1990, beliau melihat alma mater itu tidak banyak berubah dalam menyediakan kemudahan terbaik dan tenaga pengajar berkaliber, namun hari ini ibu bapa cenderung melibatkan diri sepenuhnya dalam perjalanan MRSM.

“Semasa menjadi Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Langkawi, saya bekerjasama dengan pelbagai kumpulan ibu bapa termasuk kumpulan ‘Mommies’ yang begitu aktif memantau rapat perkembangan anak-anak mereka.

“Dalam hal ini ‘Mommies’ bukanlah kumpulan ibu bapa ‘membawang’ sebaliknya berusaha keluar daripada kelaziman demi mencari jalan untuk mengukuhkan modal insan, komunikasi dan kedudukan kewangan dengan matlamat melakukan gerak kerja terancang secara berpasukan,” jelasnya.

Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 MUAFAKAT di MSRM Kuala Kubu Bharu.

Berkhidmat dalam MUAFAKAT secara sukarela, Sayed Alfeizal menyifatkan MRSM begitu dekat dengan dirinya memandangkan anaknya juga belajar di MRSM selain isterinya sendiri pernah menjadi pelajar dan pendidik di MRSM.

Beliau sendiri memilih Skim Pinjaman Pelajaran Mara walaupun ditawarkan beberapa pinjaman pelajaran dan biasiswa beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan swasta lain ketika melanjutkan pelajaran ke California State University, Sacramento di Amerika Syarikat dan berjaya mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Sibuk menggalas pelbagai komitmen antaranya menjadi Pengarah Jualan dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan UZMA Berhad, beliau menyifatkan penglibatannya dalam MUAFAKAT sebagai khidmat bakti kepada masyarakat dan berkongsi kepakaran yang dimiliki.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif COMMA Motorsports dan akademi berteras sukan dikenali sebagai DSAF Academy itu mengamalkan prinsip kerja berpasukan dan pembahagian tugas serta percaya semua usaha akan berhasil jika dikerjakan mengikut strategi perancangan sistematik.

“Sesungguhnya kita ada banyak cadangan tetapi untuk menjadikannya satu kenyataan adalah cabaran besar yang memerlukan usaha yang tidak kenal erti jemu dan penat lelah.

“Justeru, ia melibatkan sokongan semua pihak terutamanya Timbalan Presiden, Ahli Jawatankuasa, pengurusan MRSM, KM dan KPM serta paling penting pengurusan tertinggi MARA amat memainkan peranan penting dalam menjayakan apa yang telah dirancang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI