PETALING JAYA – Terkesan dengan lambakan berita peningkatan kes bunuh diri dek desakan ekonomi, pelakon Diana Danielle mengambil inisiatif membuka peluang kepada peniaga kecil mempromosikan bisnes dalam media sosial miliknya.
Diana atau nama lengkapnya, Diana Danielle Danny Beeson, 30, idea tersebut tercetus selepas hampir setiap hari dia melihat dan mendengar kes bunuh diri berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Ketika ini kita sering dengar kes bunuh diri, kelaparan, dihalau dari rumah dan bisnes muflis.
“Disebabkan hal itu, saya membantu untuk menyediakan platform untuk mempromosikan bisnes peniaga kecil dalam media sosial,” kata pelakon drama Raisha itu dalam InstaStorynya.
Isteri kepada aktor Farid Kamil itu berharapmpengikut Instagram membeli produk-produk yang dipromosikan, sekali gus membawa kegembiraan kepada golongan peniaga kecil.
“Mungkin semua itu bukan benda yang kita perlukan tetapi ini cara untuk mereka teruskan kehidupan. Kita perlu bantu dan belilah daripada mereka.
“Sekurang-kurangnya kesihatan mental mereka tidak merosot dan elak daripada terfikir untuk melakukan tindakan seperti bunuh diri dan anak mereka juga tidak akan kelaparan. Tolonglah beli atas sifat perikemanusiaan,” ujarnya.
Untuk rekod, sebelum ini beberapa selebriti tanah air lain juga pernah membantu mempromosikan bisnes peniaga kecil dalam Instagram mereka seperti Mona Allen dan Elly Mazlein.
Hari ini, muka depan Kosmo! melaporkan kes bunuh diri sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat selepas menunjukkan peningkatan ketara. – K! ONLINE