fbpx

Saya pernah hampir mati kerana kanser usus – Uchee Fukada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Uchee Fukada mendedahkan bahawa dia pernah berdepan dengan saat getir untuk hidup apabila disahkan menghidap kanser usus suatu ketika dahulu.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Uchee atau nama sebenarnya Nurlina Syafiqah Zakbah, 31, berkongsi pengalaman apabila hampir maut akibat kanser usus pada tahun 2016.

“Mari saya kongsikan sesuatu kepada anda semua tentang pengalaman hidup saya. Hidup saya hari ini adalah peluang kedua yang Allah SWT beri untuk diperbetulkan untuk menjadi manusia yang penuh dengan rasa syukur.

“Tahun 2016 adalah pengalaman hitam saya. Tidak tahu bagaimana tiba-tiba sakit. Doktor kata harapan untuk hidup 50-50. Selepas pembedahan, koma 24 jam masuk unit rawatan rapi (ICU) selama tiga minggu,” katanya.

Ujar pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu lagi, ketika di ICU, lehernya juga terpaksa ditebuk untuk membolehkan dia makan makan sepanjang di hospital.

“Leher kena tebuk untuk makan. Keluarga dan kawan-kawan datang melawat baca surah Yassin (takut kalau meninggal). Kemudian masuk wad biasa selama sebulan.

“Makan steroids sehari 20 biji untuk kurangkan rasa sakit. Jalani rawatan terapi selama dua minggu untuk belajar jalan semula. Belajar untuk bernafas secara normal. Makan bubur selama setahun. Tidak bekerja selama setengah tahun untuk sembuh,” katanya.

Untuk menanggung kos perubatan, Uchee yang popular dengan dialog ‘wongshe wongshe ustaz Adam’ itu terpaksa menggunakan insurans sehingga habis bagi menampung perbelanjaan hospital.

Selepas sembuh, Uchee berkata dia akhirnya dapat bekerja semula, namun kudratnya masih lagi terbatas.

“Kadang-kala sakit datang masa tengah kerja, kena berehat sekejap. Tidak boleh tertekan, tak boleh penat sangat, tak boleh bekerja bawah panas. Memang banyak pantang.

“Setiap hari Isnin perlu ke hospital untuk periksa darah dan lain-lain. Berat turun daripada 50 kilogram (KG) kepada 40kg. Berkat doa daripada keluarga dan kawan-kawan, saya kini kembali sihat dan kuat sehinggalah doktor sahkan bahawa saya telah bebas daripada kanser pada 2018,” ujarnya.

Sehingga kini, Uchee berasa sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk terus hidup dan menjalani hari-harinya dengan sihat.

“Berat makin naik. Tapi kejap naik kejap turun. Apa-apa pun saya bersyukur dan gembira dengan diri saya sekarang.

“Jadi jangan tanya kenapa berat badan saya naik, jangan tanya kenapa kepala saya berubah. Mungkin disebabkan kesan daripada steroids. Jangan tanya kenapa itu kenapa ini,” jelasnya. -K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI