fbpx
Dr. Hadina (kiri) dan rakan-rakan menunjukkan papan tanda kediaman rumah penduduk setempat yang telah disiapkan oleh warga UTM.

Karya seni ubah kampung lebih ceria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN negara kini berdepan dengan pandemik Covid-19, namun itu tidak mematahkan usaha warga universiti daripada menyantuni masyarakat setempat menerusi program tanggungjawab sosial korporat.

Justeru, sekitar Mac lalu, Kelab Kebajikan Staf, Pejabat Hal Ehwal Korporat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dengan kerjasama Galeri Seni Hujung Tanah Art Residency (HTAR) bersama-sama menceriakan komuniti di Kampung Parit Haji Alias, Pontian, Johor.

Ia dilakukan dengan mengindahkan lagi kawasan kampung tersebut melalui penyediaan pelbagai replika dan arca dengan elemen seni.
Program itu diadakan di pekarangan premis HTAR yang terletak di kampung berkenaan.

Melalui program dikenali sebagai Seni Untuk Masyarakat: CSR UTM Untuk Komuniti Kampung Parit Haji Alias itu, mereka menyediakan pelbagai hasil seni seperti papan tanda rumah, papan tanda jalan, lukisan mural dan lain-lain.

Replika dan arca yang dihasilkan akan diletakkan di sekitar kampung untuk menambah keceriaan dengan sentuhan seni menarik sebagai penunjuk arah.

 

SELAIN papan tanda, warga UTM turut menghasilkan lukisan mural pada program Seni Untuk Masyarakat : CSR UTM Untuk Komuniti Kampung Parit Haji Alias di Pontian.

 

Pengarah Hal Ehwal Korporat universiti berkenaan, Dr. Farhan Mohamed berkata, aktiviti bertemakan khidmat masyarakat dengan elemen seni tersebut antara yang julung-julung kali diadakan oleh mereka.

Ia katanya, salah satu pengalaman berharga untuk semua peserta terlibat.

“Program ini melibatkan 20 ahli kelab yang juga kakitangan Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM dengan kerjasama penduduk di kampung terbabit.

“Antara aktiviti yang kami lakukan adalah mereka bentuk papan tanda pelbagai guna.

“Antara kegunaan papan tanda ini adalah untuk kediaman peribadi yang mengandungi nama dan alamat pemilik rumah.

“Kami juga terlibat dalam mengecat dan membuat papan tanda jalan bagi diletakkan di kawasan kampung ini untuk kemudahan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Menurut Dr. Farhan, dalam program itu, peserta tidak perlu membawa sebarang peralatan dan bahan kerana kesemuanya disediakan oleh pihak HTAR.

Ujarnya, galeri seni itu sebenarnya telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak di negara ini.

“Antaranya Balai Seni Negara, Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kerajaan Negeri Johor atas aktiviti seni yang mereka jalankan selama ini.

“Selepas semuanya selesai, peserta mengambil peluang merakamkan momen-momen indah di hadapan HTAR,” ujarnya.

 

ANTARA papan tanda yang diselitkan unsur seni hasil sentuhan warga UTM, Skudai.

 

Secara tidak langsung, kata Dr. Farhan lagi, kehadiran mereka di kampung itu memberikan satu kelainan bagi konsep seni sedia ada kepada yang lebih bertemakan kemasyarakatan.

Jelasnya, ia sekali gus menyumbang kepada komuniti setempat melalui aktiviti seni seperti ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penduduk Kampung Parit Haji Alias atas kerjasama yang diberikan sepanjang program tersebut berjalan.

Turut menyertai program itu ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan Media dan Komunikasi Korporat) UTM, Prof. Madya Dr. Hadina Habil, pemilik HTAR, Fakhrul Zaman Mohamad Sambas.

Selain itu, ia turut disertai oleh Ahli Majlis Daerah Pontian, Ustaz Nurdin Ayub yang mewakili pihak berkuasa tempatan itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN