fbpx
SYAHEERAH (tiga dari kanan) sentiasa komited dalam setiap apa yang dibuatnya termasuk bijak membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti luar.

Gadis lasak tak abai pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBANYAKAN gadis di luar sana tidak gemar kepada aktiviti luar yang memerlukan mereka terdedah kepada cahaya matahari dalam tempoh lama.

Hal ini kerana, mereka bimbang sekiranya kulit wajah dan tubuh mereka bertukar gelap atau ‘terbakar’ sekiranya terdedah kepada sinaran ultra ungu terlalu lama.

Berbeza dengan Syaheerah Syazana Syalabiah Salim, 22, yang gemar kepada aktiviti luar berbanding berkurung di dalam satu-satu tempat tertutup.

Justeru tidak hairanlah sekiranya pelajar tahun tiga di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu selesa menyertai badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) berbanding kelab-kelab lain.

Mula menyertai badan beruniform itu sejak dua tahun lalu, gadis yang mesra disapa Syaheerah itu berasa cukup selesa dengan setiap aktiviti yang dianjurkan oleh badan kokurikulum tersebut.

“Saya memilih menyertai Palapes disebabkan minat mendalam terhadap aktiviti lasak seperti mendaki bukit atau gunung serta berkhemah di dalam hutan.

“Jadi, aktiviti hujung minggu dan cuti semester saya dipenuhi dengan pelbagai program lasak.

“Lagipun, ia menawarkan sejumlah elaun. Walaupun tidak banyak, namun ia cukup untuk membantu menampung kos pengajian saya di universiti ketika ini,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Penglibatan dalam Palapes juga membantu Syaheerah mendisiplinkan diri serta mendalami pelbagai ilmu termasuk ikhtiar hidup dan persenjataan.

Anak ketiga daripada lapan adik-beradik itu memaklumkan, dia sudah tidak sabar untuk terlibat dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes yang dijangka berlangsung pada akhir tahun ini.

“Saya sudah tidak sabar untuk menyertai istiadat pentauliahan tersebut.

“Bagi menjayakan acara berkenaan, saya perlu berlatih lebih lima jam setiap hari bagi memastikan kawad perbarisan berjalan lancar.

“Ketika inilah, fizikal dan mental saya benar-benar teruji apabila terpaksa berlatih kawad di kawasan lapang dengan matahari tegak di atas kepala,” ujarnya lagi.

 


PALAPES mengajar erti disiplin dan kemahiran hidup buat Syaheerah untuk berdikari selepas tamat belajar.

 

Pada masa sama, Syaheerah aktif dengan kerja-kerja kesukarelawanan dengan menyertai badan di bawah naungan Kementerian Pendidikan iaitu Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Menerusi YSS, gadis berasal dari Kuala Lumpur itu berpeluang menyertai pelbagai misi bantuan kemanusian sama ada di dalam hinggalah ke luar negara.

Salah satu program yang disertai oleh Syaheerah adalah misi bantuan ke Medan, Indonesia pada tahun 2019 bagi membantu golongan memerlukan di sana.

“Pada mulanya, saya sertai YSS disebabkan ajakan rakan-rakan. Selepas terlibat dalam beberapa aktiviti, saya mula rasa selesa dan semakin bersemangat.

“Saya sangat suka membantu orang yang berada dalam kesusahan. Apabila melihat senyum terukir di bibir penerima bantuan, segala penat lelah saya seperti berbayar,” ujarnya.

Hasil pelibatannya dalam dunia kesukarelawanan selama dua tahun, Syaheerah telah diangkat sebagai Ikon Sukarelawan UniMAP pada Disember 2019.

Jelasnya, anugerah berkenaan merupakan pencapaian terbesar diperoleh dan amat bernilai sepanjang pengajiannya di kampus.

Meskipun sibuk dengan aktiviti luar, namun penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) itu sama sekali tidak mengabaikan pelajaran.

Katanya, Syaheerah perlu sentiasa bijak membahagikan masa supaya tidak berlaku pertindihan antara kuliah atau peperiksaan semester dengan aktiviti luar.

“Walaupun sibuk, saya tidak boleh lupa tujuan utama masuk ke UniMAP iaitu menggenggam segulung ijazah. Seandainya terlepas kuliah disebabkan aktiviti luar, saya segera berjumpa dengan pensyarah.

“Saya juga sangat bersyukur dan bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa bersedia membantu memberi tunjuk ajar serta panduan apabila terlepas sesi kuliah,” terangnya lagi.

 

MELALUI badan sukarela yang disertai di universiti, Syaheerah berpeluang membantu mereka yang memerlukan sama ada di dalam atau luar negara.

 

Mengulas mengenai masa depan, gadis berkulit sawo matang itu lebih selesa untuk bekerja dalam jurusan diambilnya ketika ini bergelar seorang ahli kimia.

Pada masa sama, Syaheerah tidak menolak kemungkinan untuk berkhidmat sebagai pegawai tentera tetap sekiranya ditawarkan peluang sedemikian selepas tamat pengajian di UniMAP kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN