fbpx

Itali cemas sebelum mara ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain meraikan jaringan Federico Chiesa (tengah) ketika menyaksikan Itali membenam cabaran Austria 2-1 pada pusingan 16 terbaik, Euro 2020 di Stadium Wembley, London sebentar tadi. - AFP

LONDON – Itali bermandi peluh sebelum mara ke pusingan suku akhir Euro 2020 apabila terpaksa berhempas pulas selama 120 minit untuk membenam pasukan liat, Austria 2-1 di Stadium Wembley sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Roberto Mancini melebarkan rekod 31 perlawanan tanpa kalah sejak 2018 dan turut memastikan skuad The Azzurri mara ke suku akhir di Munich dengan momentum terbaik.

Pada aksi tersebut, Itali dilihat sedikit goyah apabila Austria mempamerkan aksi cukup baik dan tidak membuka ruang untuk anak-anak buah Mancini untuk menguasai perlawanan sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, pada awal saingan Itali mengatur perlawanan dengan baik selepas melakukan beberapa percubaan berbahaya menerusi Nicolo Barella pada minit ke-17, namun cubaan tepat itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol Austria, Daniel Bachmann.

Tersentak dengan keadaan tersebut, Austria terus melakukan serangan balas, namun tendangan voli Marko Arnautovic sedikit tersasar dan melepasi palang gol.

Itali terus menggasak kubu Austria tetapi rembatan kencang penyerang Lazio, Ciro Immobile pada minit ke-32 sekadar mengegar tiang gol meskipun berjaya mengatasi Bachmann.

Pada separuh masa kedua, Austria dilihat agresif dan berpeluang untuk menjaring gol pembukaan, bagaimanapun jaringan hasil tandukan Arnautovic pada minit ke-66 dibatalkan kerana berada dalam keadaan ofsaid berdasarkan video bantuan pengadil (VAR).

Kedua-dua pasukan menggandakan serangan masing-masing, namun kedudukan 0-0 kekal sehingga 90 minit perlawanan sekali gus aksi berlanjutan pada masa tambahan.

Rentak perlawanan menjadi semakin rancak dan dramatik apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan Itali akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Federico Chiesa yang dimasukan pada minit ke-84 menyelamatkan maruah The Azzurri dengan jaringan pada minit ke-96.

Austria terus dihukum apabila Itali terus melakukan serangan hingga berjaya memperoleh gol kedua menerusi jaringan Matteo Pessina pada minit ke-105.

Austria dilihat tidak berputus asa dan berjaya menjelmakan gol menerusi Sasa Kalajdzic pada minit ke-114 selepas bijak menanduk masuk hantaran cantik Louis Schaub.

Bagaimanapun, kebangkitan Austria mungkin sudah terlambat apabila Itali berjaya melangkah ke pusingan suku akhir dengan keputusan 2-1 selepas tamat masa tambahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI