KEBAHAGIAAN pasangan suami isteri Ashraf dan Ina (bukan nama sebenar) terlerai jua akhirnya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab si isteri yang selalu menceritakan masalah rumah tangga mereka di media sosial.
Ini membuatkan Ashraf selalu makan hati dengan tindakan isterinya itu seolah-olah menggambarkan dirinya seorang yang sangat teruk.
Tidak cukup dengan itu, Ina turut menaikkan status di media sosial berupa sindirian apabila tidak berpuas hati dengan keluarga Ashraf menyebabkan mereka sering bertengkar.
Selepas kata nasihat tidak berkesan, akhirnya Ashraf mengambil keputusan melepaskan Ina dengan talak satu.
Mendirikan rumah tangga dengan wanita dicintai merupakan perkara yang paling bermakna buat seorang lelaki termasuk Ashraf (bukan nama sebenar).
Lelaki itu mengenali isterinya, Ina (bukan nama sebenar) melalui salah seorang rakan baiknya dan mengambil keputusan untuk berkahwin selepas tiga bulan mengenal hati budi masing-masing.
Menurut Ashraf, secara kebetulan, mereka berdua pernah gagal dalam percintaan sebelum ini, justeru dia dan Ina tidak mahu bercinta terlalu lama tanpa ada hubungan sah menerusi ikatan pernikahan.
“Pandangan pertama saya ketika mengenali Ina, dia seorang yang mempunyai budi pekerti baik dan sopan santun apabila bercakap serta menghormati orang tua,” jelasnya.
Ashraf berkata, itu semua hanyalah ‘wayang’ semata-mata kerana sikap dan perangai sebenarnya terserlah selepas mereka berpindah dari rumah orang tuanya dan tinggal menyewa di luar.
Jelasnya, pada awal perkahwinan, Ina tidak menunjukkan ‘belang’ sebenarnya yang tidak menjaga pertuturan dan suka mendedahkan masalah peribadi orang lain di laman sosial.
Kata Ashraf, apa yang membuatkan dia tidak tahan dengan perangai isterinya adalah sering menceritakan hal rumah tangga di media sosial jika bergaduh dan mengatakan itu hak dia untuk berbuat demikian.
“Bergaduh suami isteri itu perkara biasa, tetapi saya tidak boleh terima apabila dia memuat naik status di media sosial yang kadangkala menggambarkan saya sebagai seorang lelaki tidak berguna,” katanya.

Jelas Ashraf, tindakan tersebut seperti menunjukkan hubungan mereka seperti bermasalah, sedangkan dia (Ina) yang ada masalah.
Ujar Ashraf, isterinya juga suka bercakap lepas tanpa memikirkan perasaan orang lain dan tidak boleh ditegur.
Disebabkan perkara itu, ujarnya, mereka suami isteri sering bergaduh terutamanya apabila dia menegur perangai isterinya.
“Sebaliknya, bukan dia mahu mengambil iktibar dengan teguran tersebut, tetapi memarahi saya dengan kata-kata kesat yang amat menyakitkan hati,” ujarnya kesal.
Selain itu, isterinya juga kata Ashraf, sering memuat naik status yang menyindir saudara-maranya jika ada perkara yang dia tidak puas hati.
Saudara-mara Ashraf yang terasa dengan sindirian pernah bertanya kepada Ashraf dengan tindakan Ina itu.
Dalam pada itu, satu perkara lagi yang membuatkan Ashraf tidak tahan dengan perangai isterinya itu adalah dalam soal kebersihan.
Kerja-kerja membersihkan rumah banyak dilakukan Ashraf terutamanya di bahagian dapur.
“Selepas memasak dia (Ina) akan membiarkannya begitu sahaja. Jika saya tidak mengambil inisiatif untuk membersihkannya, dapur pasti menjadi seperti ‘tongkang pecah’,” jelasnya.
Pernah sekali, Ashraf bekerja di luar kawasan selama tiga hari, namun apabila pulang, dia mendapati keadaan dalam rumah tidak terurus dan amat menyakitkan matanya.
Dia sendiri tidak mengerti dengan sikap Ina yang lebih gemar menghabiskan masa dengan telefon pintar dan menonton televisyen dan tidak mahu melaksanakan tanggungjawab sepatutnya sebagai isteri.
Terdetik di hati Ashraf untuk berpisah dengan isterinya itu kerana sudah tidak tahan dengan peragainya itu walaupun sudah banyak kali ditegur untuk berubah.
Akhirnya Ashraf berpisah juga dengan isterinya apabila berlaku pertengkaran antara mereka berdua akibat tindakan Ina menyindir keluarganya dengan memuat naik satu status jelek di media sosial.
“Kakak terus menghubungi saya dan meminta penjelasan tentang perkara tersebut. Akhirnya saya menceritakan hal sebenar.

“Disebabkan hal itu, saya bertengkar dengan Ina dan dia mencabar saya untuk menceraikannya jika berani,” jelasnya.
Tambahnya, dia hilang pertimbangan pada waktu itu dan akhirnya melafazkan talak satu.
Isterinya itu langsung tidak menunjukkan sebarang riak kecewa diwajahnya, sebaliknya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tuanya.
Ashraf menjelaskan, jika isterinya sedar akan kesilapannya dan berjanji untuk berubah serta ingin rujuk kembali, dia sedia untuk berbuat demikian.
Malangnya Ina langsung tidak menunjukkan sebarang kekesalan dan mereka akhirnya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah.














