fbpx

Pusat hiburan beroperasi tanpa lesen diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 24 individu termasuk warga asing yang sedang leka berhibur ditahan di premis hiburan, malam tadi. /FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Seramai 24 individu ditahan manakala sembilan lagi dikompaun ketika sedang leka berhibur dalam satu serbuan ke atas sebuah premis pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10.20 malam oleh sepasukan polis dari Cawangan D7 dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Difahamkan, serbuan dilakukan susulan maklumat premis berkenaan beroperasi tanpa lesen sah dan menggaji wanita warga asing sebagai pelayan selain tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Dalam serbuan berkenaan kami telah menahan seorang lelaki tempatan kerana terlibat dengan kegiatan perjudian online serta dua lelaki Bangladesh yang didapati menjalankan pusat perniagaan hiburan dan bekerja tanpa dokumen perjalanan sah.

“Turut ditahan adalah dua wanita warga Laos dan tujuh wanita Vietnam yang bekerja sebagai pelayan wanita serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ni.

Menurut Muhammad Idzam, pasukan serbuan turut menahan enam lelaki tempatan, lima wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, benzo dan ketamin.

“Kompaun turut dikeluarkan ke atas sembilan lelaki tempatan kerana terlibat dengan aktiviti terlarang iaitu aktiviti hiburan dalam tempoh PKP,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI