MELAKA – Kes curi lembu dan kambing di negeri ini dilaporkan meningkat menjelang sambutan Aidiladha dengan keseluruhan 48 ekor ternakan bernilai RM274,000 dilaporkan hilang, sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 ekor ternakan dilaporkan telah dicuri sejak awal bulan ini.
Katanya, pihak polis turut menahan tujuh individu pada 16 Jun lalu selepas dipercayai menjadi dalang kegiatan tersebut yang disyaki berkait rapat dengan permintaan tinggi pasaran sempena persediaan Hari Raya Aidiladha.
“Sejak awal tahun ini, secara keseluruhan sebanyak 48 ekor lembu dan kambing milik penternak dilaporkan hilang membabitkan kerugian RM274,000.
“Bulan ini sahaja sebanyak 16 ekor ternakan dilaporkan hilang dan susulan itu juga kita menahan tujuh lelaki berusia 21 hingga 53 tahun selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu serta kambing,” katanya.
Jelasnya, mengikut pecahan, sebanyak 11 ekor ternakan dilaporkan hilang pada Januari, Februari (10 ekor), Mac (tiga ekor), April (10 ekor) dan lima ekor pada Mei lalu.
Sebanyak 38 ekor membabitkan lembu dan 10 ekor lagi kambing.
“Kes-kes kecurian ini dilaporkan berlaku di ketiga-tiga daerah dengan tiga kes di Melaka Tengah, tujuh di Alor Gajah dan enam di Jasin.
“Dua ekor lembu yang dicuri di Jasin berjaya ditemukan semula, namun suspek telah menjualnya kepada peraih lain di Krubong. Kita percaya masih ada rangkaian lain yang terlibat dan sedang mengesan mereka,” katanya. -K! ONLINE