fbpx

Hisyam Hamid ‘mental’, hampir setahun tak jumpa keluarga di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HISYAM meluahkan rasa rindu dan berharap dapat segera pulang ke Singapura bagi bertemu isteri dan dua orang anaknya.

PETALING JAYA – Pelakon Hisyam Hamid mengakui berdepan cabaran mental dek kerinduan terhadap keluarga, terutama dua orang anaknya di Singapura selepas hampir setahun terpisah akibat pandemik Covid-19.

Menurut Hisyam, kali terakhir dia berjumpa dengan anak-anaknya iaitu Nurish Syameliah dan Hayden di Singapura adalah pada 8 Julai tahun lalu.

“Cabaran yang perlu saya hadapi sekarang ini adalah daripada segi mental kerana berjauhan dengan isteri dan anak-anak.

“Sudah hampir setahun saya tidak berjumpa dengan anak-anak di Singapura sebab keadaan semasa tidak menentu gara-gara Covid-19.

“Kali terakhir saya berjumpa isteri pula sekitar bulan November tahun lalu. Isteri sempat datang ke Malaysia selama lebih kurang dua minggu,” katanya.

Bagaimanapun, Hisyam memberitahu isterinya, Rosmawati Hanafi terpaksa pulang ke Singapura dalam keadaan tergesa-gesa selepas kerajaan negara republik itu mengumumkan individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama dua minggu.

“Isteri beli tiket kapal terbang pada hari yang sama untuk pulang dan saya tidak sempat untuk berjumpa dengannya kerana ketika itu saya ada penggambaran.

“Jadi sehingga sekarang saya masih belum berjumpa dengannya,” kata Hisyam.

Pelakon berusia 35 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana isteri dan anak-anak memahami situasi yang melanda ketika ini.

Pada masa sama, Hisyam turut berharap supaya program vaksinasi dapat dilakukan dengan cepat dan meluas supaya dia dapat pulang untuk menjenguk isteri dan anak-anaknya.

“Kalau ikutkan saya merancang untuk pulang ke Singapura memandangkan anak saya yang bongsu akan menduduki peperiksaan. Jadi kalau saya pulang sekurang-kurangnya saya boleh memberi sokongan kepadanya,” ujarnya.

Pada tahun lalu, pelakon yang mencipta nama menerusi drama Ariana Rose itu mendedahkan pernah ‘tersangkut’ di negara kelahiran sendiri, selama beberapa bulan disebabkan Covid-19 sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier lakonannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI