fbpx
Zaini (depan) ketika mengadakan lawatan dan meninjau operasi PKRC Putik, Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.

Separuh rakyat Kelantan sudah daftar vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seramai 603,289 orang daripada 1.2 juta rakyat Kelantan sudah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah sehingga semalam itu menunjukkan bahawa hampir separuh daripada keseluruhan rakyat Kelantan telah mendaftar vaksin.

Katanya, pendaftaran vaksin di Kelantan meningkat sehingga 50 peratus daripada jumlah yang layak selepas melihat keberkesanan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang dijalankan selain menerusi aplikasi MySejahtera.

“Peningkatan ini juga disebabkan sudah ramai penduduk negeri yang mula menyedari kepentingan vaksin dalam usaha untuk mencegah jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan rekod JKNK, lebih 285,000 dos vaksin sudah diterima oleh rakyat di Kelantan dengan 196,784 bagi dos pertama dan 88,376 dos kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Zaini, dengan jumlah penerima seramai 285,000, ia menunjukkan bahawa Kelantan berada dalam kelompok 10 teratas negeri-negeri dengan bilangan penerima terbanyak di negara ini.

Katanya, beliau menjangkakan jumlah penerima vaksin akan terus meningkat terutamanya selepas Kelantan bakal menerima tambahan bekalan vaksin sebanyak 550,000 dos pada bulan depan.

“Selepas mendapat bekalan itu, JKNK akan menjalankan lebih banyak Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di kawasan kampung.

“Setakat ini, sebanyak 18 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka seluruh Kelantan. JKNK juga sedang dalam perancangan untuk menambah lima lagi PPV selepas bekalan vaksin diterima,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI