fbpx

Md. Amin dilantik Naib Canselor UPSI baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, 50, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa esok sehingga 23 Jun 2024.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran yang telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 7 Februari lalu.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(1) Perlembagaan UPSI.

KPT berkata, Md. Amin berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan dan juga konsultansi serta telah menerbitkan lebih 120 buah buku, artikel jurnal, prosiding, kertas polisi, laporan jemaah menteri dan artikel akhbar.

Md. Amin

Menurut kenyataan itu, Md. Amin memulakan karier sebagai guru bukan siswazah pada tahun 1993 hingga 2000.

Katanya lagi, Md. Amin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dari UPSI pada tahun 2000, Postgraduate Diploma in Outdoor Education dan Ijazah Sarjana Outdoor Education dari University of Otago, New Zealand pada tahun 2004.

“Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falasafah (PhD) dalam Parks & Outdoor Recreation Management dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2010.

“Beliau meniti kejayaan akademik dan pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI pada tahun 2017, selain menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI,” katanya hari ini.

Menurut KPT, Md. Amin turut diberikan tanggungjawab di peringkat antarabangsa antaranya Pengarah Pejabat Education Malaysia Washington DC, Amerika Syarikat, iaitu pejabat Education Malaysia terbesar di dunia.

“Beliau juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Kanu ASEAN, menubuhkan Asia Pasific Outdoor Recreation Network dan terlibat aktif dalam penganjuran Washington International Education Conference dan Konferens NAFSA.

“Atlet negara dalam sukan kayak ini juga telah mencatatkan pelbagai kecemerlangan dalam bidang sukan dan rekreasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa apabila muncul juara dari tahun 1993 hingga 2004,” katanya.

KPT berkata, pihaknya percaya Md. Amin mampu menyumbang dan membawa UPSI ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI