fbpx

[VIDEO] Guna identiti palsu, penjenayah licik sebabkan kerugian RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah bertindak licik dengan menggunakan identiti palsu yang dicuri di media sosial untuk menipu ketika urusan jual beli dalam talian sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan, suspek yang berusia 35 tahun itu bekerja sebagai peniaga dalam talian turut mempunyai pengetahuan dalam membuat kad pengenalan palsu. Kegiatan suspek tersebut membabitkan kerugian sebanyak RM80,000.

Bagaimanapun, suspek telah berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sebuah rumah sekitar Sungai Buloh pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai cara memproses dokumen palsu daripada seorang rakannya ketika menuntut di United Kingdom.

“Suspek dipercayai membuat kad pengenalan palsu berdasarkan maklumat yang diperolehi di media sosial sebelum menggunakan maklumat tersebut untuk memohon kad kredit bank secara dalam talian.

“Suspek ini juga bergerak secara bersendirian dan aktif dalam penipuan ini sejak tiga tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul di sini hari ini.

Mengulas lanjut, modus operandi suspek ialah melakukan pembayaran menerusi akaun e-wallet yang didaftarkan atas maklumat individu palsu.

“Suspek juga akan memberi alamat palsu untuk menerima barangan tersebut sebelum melaporkan tidak menerima barangan yang ditempah kepada penjual.

“Barangan yang diperolehi tersebut akan dijual semula dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran. Suspek juga akan memberi maklumat palsu kepada pembeli dengan memberi gambar barangan yang sudah lengkap di balut sebelum menghantar kotak kosong,” jelasnya.

Katanya, tindakan suspek terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang pengurus sebuah syarikat menjual alatan memancing yang mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM14,000 pada Jumaat lalu.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya memberkas suspek di sebuah rumah sekitar Sungai Buloh. Suspek juga mengaku melakukan sekurang-kurangnya 40 penipuan dan setakat ini, polis menerima enam laporan membabitkan kerugian RM80,000.

“Kita telah merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti penipuan urusan jual beli antaranya 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 131 kad sim prabayar, 45 kad kredit bank, lapan kad pengenalan palsu dan dua keping pasport palsu.

“Kita turut merampas 32 keping kad akses, dua unit mesin pencetak kad akses, satu unit komputer riba, dua buku mengandungi maklumat mangsa dan tujuh kotak kosong untuk tujuan penghantaran,” katanya.

Suspek warga tempatan itu ditahan reman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI