fbpx

Pelan Pembangunan Semula LTSAAS bakal jana nilai RM10 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pelan Pembangunan Semula jangka panjang Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang diunjurkan mampu menjana nilai sehingga RM10 bilion kepada ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Hol­dings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pada tahun 2020, ekosistem perniagaan di LTSAAS te­lah menjana 50 peratus daripada perolehan keseluruhan industri aero angkasa negara, dengan nilai sebanyak RM5.7 bilion.

“LTSAAS kini menempatkan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) paling bernilai tinggi dan pembuatan produk paling kompleks di negara ini, melibatkan 4,000 tenaga buruh yang menerima purata gaji bulanan antara RM4,000 dan RM25,000.

“Menuju ke hadapan, Pelan Pembangunan Semula LTSAAS akan memacu pertumbuhan ekosistem di LTAAS sebanyak tiga kali ganda dengan menambah jumlah operator kepada le­bih 100 syarikat dan menyokong 19,000 tenaga buruh.

“Ia akan menerajui peralihan Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi dengan penggunaan teknologi maju dan industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Shukrie, pihaknya telah menghantar Pelan Pembangunan Semula LTSAAS kepada kerajaan bertujuan untuk menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai hab penerbangan dan aeroangkasa pilihan di Asia Pasifik dalam tempoh lima tahun.

Tambahnya, sejak diberi mandat membangunkan LTSAAS pada 2005, MAHB telah membangunkan ekosistem lapangan terbang berkenaan sebanyak empat kali ganda dengan menarik keha­diran 60 jenama besar dalam industri penerbangan dan membantu kemasukan modal lebih RM500 juta.

“MAHB telah bersedia untuk melaksanakan pelan pembangunan ini dan kami memiliki simpanan tunai dalaman yang mencukupi bagi tujuan tersebut.

“Pelan ini memerlukan pelaburan infrastruktur bernilai RM300 juta secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dan MAHB memiliki kedudukan tunai yang kukuh di pasaran wang berjumlah RM1.6 bilion, dengan RM914 juta tersedia untuk operasi di Malaysia.

“Dalam suasana pandemik, kami masih mengekalkan penilaian kredit AAA oleh agensi penilaian RAM Rating dan A3 oleh Moody’s Investor Services, setaraf dengan penilaian kredit negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI