fbpx
KUCING-KUCING bermain-main di sekitar sangkar di Bustana Kucing.

‘Syurga’ kucing terbiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI kejauhan sudah terdengar ngiauan kucing-kucing terbiar di pusat perlindungan Bustana Kucing yang terletak di Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat, Perlis. Menghampiri pusat perlindungan tersebut, beberapa ekor ‘si bulus’ dilihat mengiau manja sambil bermain dengan pekerja di situ.

Sebahagian besarnya pula dilihat bermalas-malasan di lantai, para kayu serta rumah kecil di dalam sangkar dek kesejukan setelah seharian cuaca hujan. Masuk sahaja ke dalam sangkar seluas kira-kira 50 meter x 15 meter itu, kucing-kucing tersebut bingkas bangun dan mula menggesel manja minta dibelai.

“Kucing-kucing di dalam sangkar ini memang manja, kalau ada pengunjung yang masuk mereka akan kerumun sehingga ada yang memanjat kaki pengunjung untuk bermanja,” kata pengasas Bustana Kucing, Mohd. Taufik Md. Zain, 55.

Menurut Mohd. Taufik, pusat perlindungan yang beroperasi sejak tahun 2015 itu menerima kucing-kucing terbiar yang banyak berkeliaran di kawasan pasar dan premis makanan.

Katanya, ketika ini pusat itu menempatkan kira-kira 1,300 ekor kucing.

“Kami terima banyak kucing gelandangan ini bukan sahaja dari negeri ini, malah sehingga Selangor.

“Orang ramai yang menyelamatkan kucing terbiar dan sakit akan menghantarnya ke sini yang mana kami tidak menetapkan bayaran tertentu sebaliknya sumbangan yang diberikan secara ikhlas,” katanya ketika ditemui Panorama di Bustana Kucing baru-baru ini.

MOHD. TAUFIK menunjukkan sejumlah kucing yang sakit, cedera dan memerlukan rawatan yang ditempatkan di dalam sangkar-sangkar di bahagian klinik Bustana Kucing.

Bagaimanapun, katanya, sejak larangan rentas negeri dikuatkuasakan, pihaknya hanya menerima kucing-kucing dari sekitar Perlis.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menerima lebih 30 ekor kucing hampir setiap hari dan jumlahnya menurun kepada 10 ekor sehari sepanjang tempoh kawalan pergerakan ekoran pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

Pun begitu tambahnya, selaras dengan penutupan Taman Ular dan Reptilia ekoran pelaksanaan PKP Penuh atau total lockdown pada masa ini, Bustana Kucing juga ditutup sepenuhnya kepada pengunjung termasuk yang mahu menghantar atau mengambil kucing.

“Sumbangan seperti makanan kucing boleh dihantar menggunakan kurier atau ditinggalkan di kaunter pendaftaran Taman Ular dan Reptilia, tetapi orang ramai dilarang sama sekali meninggalkan kucing di luar premis taman ini,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kadar bayaran yang tidak ditetapkan bagi penghantaran kucing, Mohd. Taufik menjelaskan, ia bagi menggalakkan lebih ramai orang menyelamatkan haiwan itu daripada terus hidup terseksa di luar sana.

“Kita tidak mahu lihat kucing-kucing ini hidup terbiar dan menderita penyakit tertentu di jalanan dan pasar-pasar. Ramai juga menghantar kucing-kucing yang sakit teruk. Ada beberapa ekor kucing yang buta selain hilang separuh muka akibat diserang penyakit berbahaya seperti kulat sporo serta ada yang cedera akibat dilanggar kenderaan,” katanya.

SEEKOR kucing yang sakit dan kelihatan kurus kering ditempatkan di bahagian klinik.

Mohd. Taufik menyelar tindakan segelintir individu yang menjadikan pasar untuk membuang kucing dengan menganggap haiwan tersebut mudah mencari makanan di situ.

“Orang ingat pasar banyak makanan tetapi sebenarnya persekitaran pasar ini sentiasa basah dan kotor selain makanan mentah seperti ikan juga tidak sesuai dengan sistem pencernaan kucing.

“Keadaan itu mendedahkan kucing kepada penyakit yang akhirnya membawa kepada kematian,” katanya yang juga seorang kontraktor.

Tambahnya, selain sangkar yang luas, Bustana Kucing turut menyediakan klinik untuk merawat kucing berpenyakit serta wad ibu dan anak untuk kucing yang baru melahirkan anak.

“Kita mempunyai 14 orang pekerja yang menguruskan keperluan kucing-kucing ini setiap hari termasuk memberi makan, membersihkan seluruh kawasan dan merawat kucing yang sakit.

“Di klinik, ada kucing yang demam, selesema serta diserang fungus. Kadangkala doktor haiwan datang bagi merawat dan memberi khidmat nasihat secara sukarela kepada kami,” jelasnya.

PUSAT perlindungan kucing terbiar ini terletak di Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat, Perlis.

Sementara itu, biarpun Bustana Kucing ditutup pada masa ini ekoran PKP Penuh, sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan ribuan ekor kucing di situ masih diperlukan meliputi bekalan makanan, ubat-ubatan serta multivitamin.

“Penutupan taman ular menyebabkan dana menguruskan kucing termasuk yang berpenyakit semakin berkurangan. Bustana Kucing memerlukan 65 kilogram makanan kucing dianggarkan bernilai RM300 sehari atau RM9,000 sebulan.

“Bagi bekalan ubat pula, kami membelanjakan kira-kira RM2,500 sebulan dan ia tidak termasuk kos menggajikan 14 kakitangan,” jelasnya.

Katanya, sebelum PKP penuh, ramai juga yang datang mengambil kucing-kucing di sini untuk dipelihara.

“Kami akan memberikan ubat cacing, vitamin dan ubat kutu sebelum kucing itu diserahkan berserta kad rawatan kucing sebagai rekod mereka.

“Pengambilan kucing dari Bustana Kucing juga tidak menetapkan bayaran tertentu, sebaliknya sumbangan ikhlas daripada keluarga angkat kucing berkenaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN