WASHINGTON – Pakar-pakar memberi amaran bahawa dunia bakal berdepan perang biologi sekiranya ujikaji terhadap virus diteruskan, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Amaran itu dinyatakan selepas banyak bukti menunjukkan bahawa virus Covid-19 dicipta di makmal di Wuhan.
Menurut saintis terkemuka, Steven Quay dan Richard Muller kepada akhbar Wall Street Journal, teori koronavirus bersal daripada jangkitan haiwan kepada manusia adalah tidak munasabah dan sukar untuk diterima sebagai kebenaran.
Mereka mengukuhkan dakwaan tersebut dengan memberitahu satu persidangan online bahawa dunia berdepan kehancuran sekiranya penyelidikan ke atas virus tidak dihentikan segera.
Quay yang merupakan ketua eksekutif syarikat farmaseutikal Atossa Therapeutics berkata kepada Institut Hudson yang berpangkalan di Washington DC bahawa penyelidikan terhadap vaksin telah membuka peluang di mana ‘anda boleh berperang biologi pada waktu pagi dan mendapatkan suntikan vaksin pada waktu petang’.
Tambahnya, berbeza daripada virus lain, kuman Covid-19 berjangkit sangat cepat dalam kalangan komuniti dan fenomena itu tidak berpadanan dengan kaedah jangkitan penyakit yang berlaku secara semula jadi.
Teori kebocoran makmal yang disokong oleh pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mendapat perhatian dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan kemunculan bukti baharu.
Menurut bukti itu, tiga penyelidik di Institut Virologi Wuhan telah jatuh sakit pada 20 November 2019.
Bukti video yang diperoleh agensi berita Sky News pula menunjukkan kelawar hidup disimpan di makmal virulogi di Wuhan sekali gus bercangggah dengan kenyataan penyiasat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Peter Daszak yang menolak dakwaan ‘teori konspirasi’ dalam siasatan asal usul koronavirus
Siasatan WHO mengenai asal usul Covid-19 pada Februari lalu menyimpulkan adalah ‘sangat tidak mungkin’ virus itu berasal dari sebuah makmal.
Keraguan mengenai kualiti penemuan itu menyebabkan pentadbiran AS bulan lalu mengarahkan agensi perisikannya untuk menjalankan siasatan baharu selama 90 hari dengan Presiden Joe Biden dan pemimpin dunia lain meminta siasatan terperinci dilakukan. – Agensi