KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian pergaduhan tular yang berlaku di Taman Intan Baiduri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pergaduhan berpunca dari kejadian kemalangan yang berlaku melibatkan tiga buah kenderaan.
“Suspek yang merupakan salah seorang dari mangsa kemalangan telah mengamuk dan memarahi pemandu kedua-dua kenderaan yang lain.
“Kejadian kemalangan terbabit adalah disebabkan kecuaian suspek sendiri yang telah melanggar kenderaan di hadapannya selain dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, salah seorang saksi kejadian cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun telah diserang empat lelaki warga tempatan yang juga rakan suspek.
“Mangsa telah dipukul menggunakan sebatang besi menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan muka.
“Setibanya polis di lokasi, kesemua empat lelaki tersebut telah melarikan diri namun suspek yang mencetuskan pergaduhan telah berjaya ditahan,” ujarnya.
Tambahnya, operasi mengesan suspek yang masih bebas telah membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan yang terlibat dalam insiden pergaduhan terbabit. -K! ONLINE