fbpx

Nourul Depp pilih berhijrah ke Bali, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nourul dan suami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bali, Indonesia Julai depan.

PETALING JAYA – Teka-teki lokasi yang dipilih oleh penyanyi Nourul Wahab Depp untuk memulakan kehidupan baharunya bersama keluarga akhirnya terjawab apabila mendedahkan bakal berhijrah ke Bali, Indonesia pada pertengahan Julai depan.

Pendedahan yang dibuat ketika menjadi tetamu undangan dalam program Punchline DAC baru-baru ini itu sekali gus menepis spekulasi yang mengatakan bahawa dia bakal berpindah ke negara asal suaminya, Perancis.

Menurut pelantun lagu Kerana Terluka itu, penghijrahan tersebut awalnya dirancang pada tahun lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan seketika.

“Penghijrahan ini untuk pendidikan dan masa depan anak-anak.

“Kami berhasrat untuk masukkan mereka ke sebuah sekolah di sana yang sangat bagus dan berkonsepkan kemahiran,” katanya.

Kata penyanyi berusia 44 tahun itu lagi, memang impian suaminya untuk berhijrah ke Bali kerana sebelum ini dia pernah menetap selama dua tahun di sana.

Walaupun bakal menetap di sana dalam tempoh yang lama, Nourul berkata, dia tidak akan meninggalkan kerjaya seni di tanah air dan akan sentiasa berulang-alik antara Bali ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan.

“Saya tetap akan balik ke sini (Kuala Lumpur) kerana bisnes ada sini termasuk untuk memenuhi undangan persembahan. Bukan jauh pun.

“InsyaAllah saya masih dan tetap orang yang sama. Terima kasih untuk semua yang mendoakan saya dan keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Nourul mengakui berasa sedikit beremosi dan sedih apabila menerima hantaran mesej daripada peminatnya.

“Jangan bimbang, tiada apa pun yang berubah. Peminat dan pengikut di media sosial saya tetap di hati. Ada umur panjang, kita tetap berjumpa,” ujarnya.

Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab dan suami, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2.

Sementera menerusi perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 23. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI