fbpx
Gambar hiasan

Melaka laksana PPV pandu lalu percepat pemberian vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Negeri ini akan memulakan pemberian vaksin secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, bermula hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, PPV pandu lalu pertama negeri itu boleh menampung kira-kira 800 penerima dalam satu-satu masa.

“Sebelum ini kita telah memilih lokasi Dewan Tun Ali untuk PPV pandu lalu, namun atas penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tempat itu dikatakan tidak sesuai kerana kesesakan penerima di sana.

“LTAM dilihat lebih sesuai dan ia boleh menampung 800 penerima dalam satu-satu masa. Dijangka PPV pandu lalu itu dibuka dalam masa dua hingga tiga minggu lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan PPV Ayer Molek, di sini, hari ini.

Tambahnya, LTAM itu merupakan antara tujuh lokasi PPV baharu yang dibuka bagi mempercepat pemberian vaksin khususnya rakyat negeri ini.

Jelasnya, enam PPV lain bagaimanapun dijangka beroperasi bermula Khamis ini termasuk PPV Japerun Klebang, PPV Sungai Udang, PPV Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, PPV Dewan Universiti Multimedia Malaysia (MMU), PPV CTRM, dan PPV Dewan MPHTJ Bukit Beruang.

“Untuk permulaan, PPV pandu lalu LTAM itu akan memfokuskan kepada senarai penerima dos kedua vaksin di Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang telah dibuka hari ini.

“Kemudian barulah kita akan meneruskan dengan penerima-penerima baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini seramai 647 warga emas telah menerima vaksin menerusi program PPV bergerak di 20 lokasi pusat jagaan.

Sehingga semalam, seramai 23,041 individu direkodkan menerima vaksin dengan 51,864 telah disuntik dos pertama, manakala 14, 832 selesai menerima kedua-dua dos.

“Sehingga kini kita mempunyai 38 lokasi PPV termasuk unit mobile yang boleh menampung seramai 7,500 individu dalam sehari.

“Menerusi pembukaan tujuh lagi PPV baharu ini, kita berharap dapat mencapai sasaran 70 peratus rakyat Melaka selesai menerima vaksin menjelang Disember 2021,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI