PUTRAJAYA – Penipuan membabitkan alat timbang bertujuan untuk memperdaya pengguna bukan hanya dilakukan oleh peniaga-peniaga di kedai runcit, malah modus operandi itu turut digunakan oleh tauke kedai emas.
Lebih membimbangkan, perbuatan dan taktik licik pengusaha barang kemas yang menggunakan alat timbang tidak ditentusahkan ini dilakukan di depan pelanggan mereka sendiri.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kesalahan itu terbongkar apabila kebanyakan kes yang diambil tindakan setakat ini adalah melibatkan urusan jual beli di premis perniagaan dan bukannya melalui kaedah transaksi secara dalam talian.
Katanya, selain menipu pelanggan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan, tauke-tauke ini turut melakukan kesalahan dagangan palsu berhubung standard ketulenan emas.
“Antara punca yang menyebabkan pengguna tertipu ialah mereka mudah terpedaya dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding nilai pasaran semasa.
“Bila ada tawaran sedemikian, pengguna akan terburu-buru membeli dan tidak membuat penilaian sewajarnya termasuklahmendapatkan maklumat lengkap berkaitan produk yang ditawarkan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, KPDNHEP telah melatih anggotanya untuk mengenali ketulenan emas bagi memastikan penguatkuasaan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut Azman, pihaknya juga telah memiliki dua unit alat menguji ketulenan logam berharga iaitu radas sinaran sinar-X dan alat XRF (X-Ray Flouresence).
“Alat XRF mampu membuat bacaan kandungan dan komposisi untuk lebih 100 jenis unsur logam seperti emas, perak, gangsa dan lain-lainnya. Alat ini menggunakan kaedah pengujian tanpa musnah.
“Bagaimanapun, ia hanya untuk prapengujian dan untuk ujian tepat, masih perlu dilakukan di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,” katanya.
Ujar Azman, sejak Januari 2019 hingga Mei lalu, pihaknya telah membuka sebanyak 59 kertas siasatan selain mengeluarkan kompaun bernilai RM7,200 kepada syarikat-syarikat yang terlibat.
Menurut beliau, sebanyak 20 kertas siasatan dibuka pada 2019 dan 27 lagi kertas siasatan pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak tujuh kes.
“Sehingga Mei lalu, terdapat 12 kertas siasatan dibuka ke atas premis-premis menjual emas yang melibatkan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Sehubungan itu, Azman mengingatkan pengguna supaya lebih peka dan berhati-hati dengan tawaran harga murah emas selain sentiasa membuat penyelidikan dan melihat testimoni pelanggan sebelum membuat pembelian.
Katanya, pelanggan yang membeli secara dalam talian pula digalakkan menggunakan kaedah cash-on-delivery atau COD dan memastikan peniaga mengeluarkan resit pembelian yang mengandungi maklumat lengkap.
“Maklumat peniaga mestilah meliputi nama dan alamat pembekal, tarikh pembelian, nama dan jenis artikel, standard ketulenan artikel, harga logam berharga bagi setiap satu gram, berat artikel, harga artikel, kos pembuatan (jika ada) serta tandatangan jurujual,” jelasnya.
Alat timbang perlu diperiksa setiap 12 bulan
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan, masih ramai peniaga tamak dan tidak jujur ketika menjalankan perniagaan dengan menggunakan alat timbang tidak sah.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, ada peniaga bersikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab untuk memastikan alat timbang ditentusahkan atau ditentusahkan semula oleh syarikat dilesenkan oleh kementerian.
“Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,704 tindakan kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1,626,264 dibuat di seluruh negara membabitkan alat timbang jisim terutamanya neraca spring dan alat timbang elektronik.
“Ekoran itu, kita telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM498,996 kepada peniaga terlibat,” katanya.

Tambahnya, penipuan berlaku kerana alat sukat dan timbang melibatkan neraca spring dan elektronik paling banyak dijual di pasaran dan digunakan secara meluas di pasar, kedai runcit dan pasar raya.
Menurut Azman, alat timbang perlu ditentusahkan semula setiap 12 bulan bagi memastikan ketepatan timbangan dan
sukatan.
“Setiap tahun, sebanyak 440,000 alat timbang dan sukat diperiksa oleh dua buah syarikat yang dilesenkan oleh pihak kementerian iaitu Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. dan De Metrology Sdn. Bhd.,” katanya.
Ujar Azman, secara purata sebanyak 2,000 kes setahun direkodkan iaitu kurang satu peratus daripada jumlah alat timbang yang digunakan di pasaran.
“Ini menunjukkan 99 peratus peniaga mengetahui dan sedar mengenai hal ini. Peniaga diingatkan supaya bersikap matang, amanah, jujur dan beretika supaya tidak menindas pengguna untuk mendapatkan untung berganda,” katanya. -K! ONLINE
















