PUTRAJAYA – Penetapan markah sempadan gred bagi menilai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditentukan secara berbeza pada setiap tahun berdasarkan prestasi semasa calon berkenaan.
Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, gred pemarkahan itu bukanlah sama sebaliknya sentiasa berubah-ubah mengikut keputusan menyeluruh dicapai calon.
Katanya, penentuan gred itu akan dibuat berdasarkan statistik terhasil daripada markah keseluruhan yang diperoleh calon pada tahun tersebut.
“Sebagai contoh, populasi calon yang menduduki SPM 2020 ialah seramai 401,105 dan penentuan markah sempadan gred akan dibuat berdasarkan prestasi dipamerkan calon pada tahun itu.
“Kita akan tengok corak graf keputusan diperoleh mereka pada tahun itu dan akan membandingkannya dengan keputusan dicatatkan untuk beberapa tahun sebelumnya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, selepas perbandingan itu dibuat, satu timbang tara sempadan gred akan diputuskan mengikut prestasi calon pada tahun berkenaan.

“Proses penentuan gred itu dibuat melalui kaedah yang digunapakai sejak dahulu di dimulakan dengan pemeriksaan skrip jawapan oleh 24,848 pemeriksa.
“Pemeriksa itu akan menyemak mata pelajaran yang ditetapkan kepada mereka sebelum semua skor calon perlu dimasukkan secara online menerusi sistem LPSkor,” jelasnya.
Katanya, keputusan diperoleh calon akan dijana selepas itu melalui sistem database sebelum membentuk statistik yang akan menentukan markah sempadan gred bagi tahun tersebut.
“Lembaga Peperiksaan turut membuat taburan data keputusan calon daripada yang terbaik hingga paling lemah dalam menentukan markah sempadan gred.
“Sebenarnya, pembina kertas peperiksaan kita telah merangka soalan sebaik mungkin bagi memastikan graf keputusan ideal seterusnya dapat mengasingkan antara calon pandai dan yang lemah,” ujarnya.
Menurutnya, graf yang diperoleh menerusi skor calon mungkin akan sedikit ke kanan dan ke kiri mengikut prestasi yang dipamerkan mereka.
“Bila graf itu lebih ke arah kanan di mana prestasi calon lebih baik, kita akan buat ketetapan untuk adakan perubahan (markah sempadan gred).
“Kita tidak boleh suka-suka untuk tentukan gred, kita perlu patuh statistik yang ditetapkan kerana itu yang kawal kita, tidak boleh suka-suka tentukan,” ujarnya.














