fbpx

Austria bergaya benam pendatang baharu Macedonia Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Austria meraikan jaringan Gregoritsch ketika menewaskan Macedonia Utara 3-1 pada aksi Kumpulan C Euro 2020 di Arena Nasional, Bucharest sebentar tadi. - AFP

BUCHAREST, Romania – Pasukan Austria memulakan kejuaraan Euro 2020 dengan langkah kanan apabila menafikan cabaran pendatang baharu, Macedonia Utara menerusi kemenangan 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan C sebentar tadi.

Pada saingan yang berlangsung di Arena Nasional itu, skuad Austria yang menduduki ranking No. 23 dunia tidak menunggu lama untuk mendahului saingan hasil ledakan akrobatik pemain sayap, Stefan Lainer pada minit ke-18.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Macedonia Utara memperkemaskan jentera serangan dan berjaya memanfaatkan peluang terhidang hasil kesilapan benteng Austria dengan jaringan dilakukan oleh penyerang veteran, Goran Pandev pada minit ke-28.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk kembali mendapatkan kelebihan jaringan tetapi gagal merekodkan sebarang gol tambahan dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, skuad Austria yang dikendalikan oleh Franco Foda tampil lebih yakin apabila menguasai sebahagian besar perlawanan pada awal saingan.

Malah, keputusan Foda memasukkan penyerang berpengaruh, Marko Arnautovic dan Michael Gregoritsch pada babak kedua membuahkan hasil apabila jentera serangan Austria dilihat lebih tajam.

Kepercayaan yang diberi tidak disia-siakan oleh Gregoritsch apabila berjaya meletakkan pasukan Austria kembali di depan selepas menyudahkan hantaran kapten, David Alaba pada minit ke-78.

Arnautovic turut mencipta nama selaku penjaring dengan meledak gol ketiga pada minit ke-89 sekali gus memberi kemenangan bergaya buat pasukan yang terkenal dengan gelaran Das Team itu.

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI