CERITA tentang Raja Bersiong sememangnya popular dan diketahui ramai kerana ia disampaikan secara lisan daripada generasi terdahulu hingga hari ini.
Terdapat beberapa versi cerita yang jadi bualan yang mana salah satunya adalah tentang gigi siongnya tumbuh panjang kononnya selepas termakan masakan sayur bercampur darah tukang masaknya yang tanpa sengaja terhiris jari ketika menyediakan masakan untuk santapan baginda.
Seorang penduduk Kampung Lalang, Mukim Siong, Baling, Kedah, Mohd. Romli Zabidi, 81, berkata, ketika Raja Bersiong melarikan diri dari istananya di Bukit Tinggi, Jitra kerana rakyat memberontak kerana marah apabila berlaku pembunuhan untuk mendapatkan darah manusia.
Jelasnya, menurut cerita orang-orang lama di situ, ketika melarikan diri itulah Raja Bersiong mencabut siongnya, lalu membalingnya dan terkena sebuah bukit yang terletak bersempadan dengan daerah Sik dan Baling.
“Sebelah bahagian bukit yang terkena siong tersebut dikatakan runtuh. Sejak peristiwa itu kononnya kawasan itu dinamakan Kampung Bukit Sebelah.
“Bagaimanapun bukit tersebut sudah tiada pada masa kini, cuma diabadikan pada nama kampung sahaja,” katanya.
Jelasnya, cerita itu mungkin hanya rekaan semata-mata, tetapi daripada rangkaian ceritanya, ia mungkin sesuatu yang benar-benar berlaku ataupun hanya kebetulan sahaja.
Hanya orang terdahulu sahaja, ujarnya yang tahu asal usul kisah di sebalik peristiwa berkenaan.
Dalam pada itu, kata Mohd. Romli, banyak lagi kewujudan nama-nama tempat di daerah Baling turut dikaitkan oleh masyarakat dahulu kala lama dengan kisah pelarian Raja Bersiong.
Ia bermula dengan Kuala Ketil yang bermaksud kutil (mencabut) kerana Raja Bersiong mencabut siongnya yang sakit ketika dalam perjalanan melarikan diri.
“Sakitnya itu tidak terperi menyebabkan Raja Bersiong berhenti di suatu tempat untuk berubat dengan mendapatkan ‘air tawar’ yang dijampi dan kawasan tersebut dinamakan Tawar.
“Kemudian, baginda terus melarikan diri ke satu kawasan sambil memegang siongnya itu, lalu tempat itu dinamakan Kuala Pegang.
“Apabila sampai pula ke satu kawasan lain, Raja Bersiong cuba menanggalkan sebatang lagi gigi siongnya dengan cara memulas sehingga tercabut gigi tersebut dan nama kawasan itu dinamakan Pulai yang perkataan asalnya pulas,” ceritanya.
Ujarnya lagi, setelah tertanggalnya siong yang dipulasnya itu, dikatakan Raja Bersiong membaling kedua-dua siongnya itu dan tempat yang dipijaknya itu terkenal sebagai nama Baling sehingga kini.
Sementara nama tempat seperti Weng dan Siong turut dikaitkan dengan cerita Raja Bersiong.

Nama Weng, katanya, didakwa berpunca daripada bunyi yang terlalu kuat ketika Raja Bersiong itu membaling kedua-dua siong sehingga didengari penduduk kampung.
Siong pula jelasnya, diambil dari tempat yang kononnya siong yang dibaling terjatuh di tempat tersebut, maka ia dinamakan Kampung Siong sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Bagi memperingati kisah-kisah Raja Bersiong itu, penduduk kampung membina satu replika berbentuk dua batang siong yang diletakkan di kiri kanan sebagai pintu gerbang untuk masuk ke Kampung Siong.
Seorang lagi penduduk, Mustafa Abdullah, 65, pula berkata, dia hanya mendengar cerita tentang Raja Bersiong daripada orang-orang tua dahulu.
“Raja Bersiong melarikan diri dari istananya di Bukit Tinggi, Jitra kerana rakyat memberontak akibat tabiatnya suka membunuh bagi mendapatkan darah manusia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lalang, Mukim Siong, Baling, Kedah baru-baru ini.
Menurutnya, tempat persinggahan Raja Bersiong masih ada di Kampung Kota terletak berhampiran Kampung Bandar, tetapi ia hanya tinggal sisa-sisa runtuhan dan dipenuhi dengan semak samun liar.
“Raja Bersiong juga dikatakan terjun ke dalam satu lubuk sungai yang dalam dan menyelam ke dasarnya untuk bersembunyi.
“Dikatakan kedalaman sungai itu melebihi panjangnya sebatang buluh dengan dasarnya berpusing laju dan tiada siapa pun yang berani mendekatinya, apatah mandi di situ sehingga hari ini,” ujarnya.
Jelasnya, setelah Raja Bersiong naik ke darat, baginda terus melarikan diri ke Siam melalui Belantik, Sik, dan di sana juga ada satu tempat yang dinamakan Kota Aur yang mungkin dinamakan sempena persinggahan Raja Bersiong.
Setelah Raja Bersiong keluar dari lubuk sungai itu, terdengar bunyi tembakan seakan-akan bedilan meriam dari dasar sungai itu yang kini dikenali sebagai Sungai Lubuk Bedil.
Katanya, bunyi bedilan pada waktu malam dari dasar sungai itu dikatakan hanya sekali sahaja dan bunyinya didengari penduduk kampung yang tinggal agak jauh dari sungai itu, manakala di kawasan berhampiran tiada seorang pun mendengarnya.
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














