fbpx

Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Tindakan pihak pengurusan sebuah kilang pemprosesan ayam membawa 48 pekerjanya yang positif Covid-19 dan memakai gelang merah jambu menggunakan lori mengundang padah apabila kenderaan tersebut ditahan pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemandu serta kesemua pekerja warga asing itu ditahan selepas video berdurasi 19 saat dan gambar tentang kejadian tersebut yang berlaku di sini tular di Facebook.

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai video tular itu kira-kira pukul 5 petang tadi dan terus mengarahkan beberapa buah kereta peronda untuk mengesan lori berkenaan.

“Kita berjaya mengesan sebuah lori membawa 48 pekerja kilang pemprosesan ayam berdekatan Sungai Lalang, Bedong.

“Kesemua pekerja terbabit didapati memakai gelang merah jambu dan disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Adzli, siasatan lanjut kemudiannya mendapati 48 lelaki terbabit merupakan antara 135 orang pekerja kilang sama yang turut disahkan positif Covid-19 susulan kluster Dah Makmur.

“Ini merupakan trip ketiga yang mana baki pekerja dibawa menerusi dua lagi trip sebelum itu,” jelasnya.

Katanya, kesemua pekerja berkenaan diarah menjalani pemeriksaan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda selepas terdapat kes positif di kilang itu hari ini.

Tambahnya, pemandu lori berkenaan disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan lain.

“Pihak pengurusan kilang juga akan disiasat dibawah Seksyen 22(b) Akta 342 iaitu kesalahan am tidak mematuhi apa-apa perintah dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa.

“Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI