fbpx
Ayob Khan (tiga dari kanan) menunjukkan dadah jenis syahbu dan heroin yang berjaya dirampas bernilai RM1.77 juta pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR ALI

Simpan syabu, heroin RM1.77 juta dalam kondominium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tangkapan empat individu termasuk seorang wanita membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan dadah jenis syabu dan heroin bernilai RM1.77 juta di sebuah kondominium di kawasan Perling, Skudai, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek ditahan dalam tiga operasi antara 3.30 petang Rabu lalu hingga 12.15 tengah hari semalam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, polis menahan sepasang kekasih berusia 21 dan 24 tahun dan merampas dadah jenis heroin di sebuah kondominium di bandar raya ini.

Tambahnya, hasil saringan urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis jenis ganja manakala hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Susulan serbuan itu, polis telah membuat satu lagi serbuan di unit berlainan di kondominium yang sama dan menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun serta merampas sejumlah dadah jenis heroin dan syabu.

“Hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Tangkapan kesemua suspek membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan dadah di Perling. Polis kemudian merampas 34.6 kilogram (kg) syabu dan 47.5kg heroin dengan nilai keseluruhan RM1.77 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sini hari ini.

Polis turut merampas dua buah kereta dengan nilai sitaan berjumlah RM40,000.

Ayob Khan memberitahu, modus operandi sindiket pengedaran dadah ini dengan menyewa kondominium berpagar dan berpengawal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya percaya rampasan dadah itu dibawa masuk dari Thailand dan boleh digunakan oleh seramai 411,000 penagih.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak April tahun lalu dan kesemua yang ditahan ini berperanan sebagai penghantar (runner) dan penjaga stor penyimpanan dadah.

“Tidak mungkin empat orang ini dapat menguruskan operasi dadah ini dan percaya ada yang membekal bekalan kepada mereka. Siasatan akan diteruskan bagi mengesan saki baki sindiket tersebut,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga 15 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI