fbpx
Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Kionsom, Inanam kelmarin.

Lelaki maut motosikal rempuh kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Kionsom, Inanam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa, Muhizan Shazry Simon, 25, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah pekan Inanam menuju ke Kampung Kionsom.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, bagaimanapun mangsa dipercayai gagal mengelak seekor kerbau yang tiba-tiba melintasi jalan di kawasan berkenaan sebelum terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kejadian dimaklumkan oleh orang awam yang mendakwa berlaku satu kemalangan di jalan terbabit membabitkan sebuah motosikal dengan seekor kerbau dan mangsa didapati terbaring dalam keadaan parah bersama motosikal yang ditunggangi sejurus kita tiba di lokasi kejadian.

“Saksi juga mendakwa melihat seekor kerbau yang cedera di tengah jalan tetapi haiwan itu sudah beredar dari lokasi kemalangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.

Mohd Zaidi menyatakan mangsa tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil semasa proses bedah siasat untuk analisis alkohol dan dadah.

Menurutnya, keadaan lokasi kemalangan didapati gelap tanpa lampu jalan selain permukaan jalan sedikit cerun menuruni bukit.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI