fbpx

KWSP raih pendapatan RM19.29 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KWSP sentiasa berusaha melindungi simpanan persaraan ahlinya dengan memelihara dan meningkatkan nilai simpanan.

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

Ekuiti yang menyumbang 74 peratus kepada jumlah pendapatan kasar mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM3.92 bilion.

Portfolio hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang pula masing-ma­sing menyumbang RM0.71 bilion dan RM0.38 bilion.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih KWSP adalah sebanyak RM19.24 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi tersebut disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bermula sejak separuh kedua tahun lalu.

“KWSP yakin pelaksanaan program vaksinasi serta so­kongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan pen­ting dalam menggerakkan aktiviti serta pertumbuhan ekonomi.

“KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat, tetapi dinilai rendah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, yang mana 36 peratus diperuntukkan dalam pasaran luar negara.

Dalam tempoh yang sama, pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang sebanyak RM11.15 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutamanya oleh ekuiti luar negara.

Sementara itu, Amir berkata, pendekatan pelaburan berdi­siplin dan pengurusan kecairan mantap telah berjaya mengurangkan impak daripada jumlah pengeluaran yang besar melibatkan i-Sinar dan i-Lestari.

“Ini mencerminkan komitmen KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan memelihara serta meningkatkan nilai simpanan dan pada masa sama, memastikan keperluan jangka pendek dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak RM50.93 bilion telah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang melibatkan seramai 6.49 juta pemohon, manakala RM20.80 bilion telah dibayar kepada RM5.27 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI