fbpx
Azhan Rani kecewa kerana masih lagi tidak mendapat sebarang perkembangan berkaitan vaksin yang dimohonnya menerusi aplikasi MySejahtera.

Jangan sampai air ketuban aku pecah sebab tunggu vaksin – Azhan Rani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon Azhan Rani meluahkan kekecewaan apabila masih tidak menerima sebarang perkembangan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, pelakon drama Nur itu berkata dia telah melakukan pelbagai cara seperti yang disarankan netizen, termasuk mengemaskini data peribadinya dalam aplikasi tersebut.

“Masih ada lagi yang kata aku tak daftar vaksin dengan betul. Apa lagi? Macam orang suruh buat. Macam-macam orang suruh ‘install uninstall’ aplikasi MySejahtrera.

“Kemaskini maklumat, alamat dan nombor kad pengenalan. Masih lagi tak bergerak (tiada perubahan). Aku nak buat apa lagi?” katanya.

Berdasarkan tangkap layar paparan MySejahtera yang dikongsikan, Azhan berkata bahawa dia telah mengikut saranan untuk mengemaskini maklumat peribadi pendaftaran dan alamat kediaman seperti yang disuruh kecuali maklumat tentang kehamilan.

“Nombor satu dengan dua aku dah buat. Yang nombor tiga (maklumat kehamilan) itu sahaja belum lagi. Kena buat juga ke?

“Mana tahu kandungan dalam perut dan songsang. Esok-esok pecah air ketuban pun aku tak rasa apa. Kejap lagi aku jumpa bidan kampung untuk periksa. Puas hati?” katanya.

Dalam satu hantaran berbeza, Azhan turut meminta orang ramai yang prihatin supaya menderma darah di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang yang mengalami kekurangan stok darah.

Ujarnya, dia mendapat tahu bahawa stok bekalan darah di hospital tersebut mengalami masalah bekalan dan memohon orang ramai yang berada di kawasan sekitar untuk menderma darah.

“Khas buat adiwira-adiwira darah di Temerloh. Saya mendapat berita bekalan darah di Hospital Sultan Ahmad Shah sedang mengalami kekurangan stok darah.

“Warga Temerloh sangat ramah dan baik budi pekerti. Saya percaya ramai yang prihatin di Temerloh. Mohon perkongsian ini mendapat perhatian warga Temerloh dan mereka yang tinggal di kawasan berdekatan,” katanya.

Tambah Azhan, individu yang ingin menderma darah masih boleh berbuat demikian walaupun ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada waktu ini.

“Tiada halangan untuk penderma darah ke pusat menderma darah di musim PKP ini. Yang sihat dan layak menderma darah. Yang tidak sihat tak apa, masih boleh tolong sebarkan info ini,” katanya. – K! ONLINE