fbpx
Tangkap layar video yang memaparkan seorang wanita mengaku tidak suka menunaikan solat yang tular di media sosial baru-baru ini.

Jangan suka dedah dosa, aib diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ZUBAIDAH IBRAHIM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PEPATAH Melayu ada menyebut ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

Kita sering diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam me­nuturkan sesuatu perkataan, begitu juga ketika melakukan sesuatu perbuatan.

Baru-baru ini, tular di media sosial yang memaparkan video seorang usahawan kosmetik mengaku dirinya tidak suka solat.

Menerusi rakaman video berdurasi 27 saat itu, wanita tersebut telah membuat pengakuan tersebut di Facebook Live dalam loghat Kelantan.

Walau apa pun tujuan dia berbuat demikian, tetapi matlamat tidak menghalalkan cara kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menimbulkan kemarahan masyarakat Islam, malah me­ngundang kemurkaan Allah SWT.

Video usahawan kosmetik itu adalah salah satu contoh per­buatan membuka aib diri sendiri di media sosial yang tanpa kita sedar semakin ramai orang bangga menayangkan kemaksiatan serta keburukan mereka di platform tersebut.

Lebih menjijikkan apabila terdapat individu yang tanpa segan silu merakam video kehidupan mereka sebagai pasangan gay untuk menjadi tatapan di media sosial.

Di mana letaknya akal dan kewarasan, sedangkan Allah telah menutup aib seseorang hamba-Nya, sebaliknya mereka pula berbangga menghebohkan per­buatan keji itu.

Memetik inti pati ceramah daripada pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, Allah tidak akan mengampunkan dosa mereka yang membuka aib sendiri dan golongan itu sukar mendapat rahmat daripada-Nya.

“Kamu sudah melakukan dosa besar dan Allah telah menutup aib itu, tetapi kamu pula me­ngumumkan di hadapan ratusan ribu orang serta dikongsi jutaan manusia yang melihatnya.

“Kamu nak cabar siapa? Kamu nak mempermainkan siapa? Apakah kamu hendak beritahu bahawa walaupun bergelumang maksiat dan dosa, tetapi hidup penuh nikmat serta kebahagiaan?” katanya.

Jelasnya, semua orang akan diampunkan dosanya dan mendapat rahmat-Nya kecuali mujahir iaitu mereka yang apabila melakukan maksiat, Allah sudah tutup aibnya, tetapi dia dedahkan kepada orang ramai tentang perbuatan dosa tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, tindakan segelintir individu yang bangga menunjukkan perbuatan mungkar mereka adalah sesuatu yang tidak rasional sebagai seorang manusia normal.

“Satu kajian perlu dilaksanakan untuk mencari akar permasalahan yang menjadi punca kepada perbuatan ini sama ada ia disebabkan oleh gangguan mental atau perkara lain.

“Pihak berkuasa juga perlu sentiasa menapis bahan-bahan yang dimuat naik di media sosial agar kandungan tersebut tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kartini memberitahu, mereka yang melakukan kesalahan itu perlu didekati dengan penuh hikmah agar mereka kembali ke pangkal jalan dan menginsafi perbuatan tersebut.

Katanya, bantuan kepada mereka yang mengalami gang­guan mental dan emosi juga perlu disediakan bagi memben­dung permasalahan tersebut daripada berulang kembali.

BERITA BERKAITAN