fbpx

Feri ikonik bakal jadi muzium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Inilah gambar feri tenggelam yang tular di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.

SEBERANG PERAI – Siasatan ke atas sebuah feri ikonik usang berwarna hijau-biru yang tersadai di dalam Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam, Butterworth di sini sejak November 2019 mendapati ia telah bocor hingga mengakibatkannya rosak.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, feri yang tular di laman sosial tersebut telah lama tidak digunakan kerana keuzuran dan sering mengalami kerosakan sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, SPPP ketika ini sedang berbincang dengan pembida untuk urusan pajakan melalui bidaan tender bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu.

“Siasatan mendapati feri itu telah mengalami beberapa kebocoran yang mengakibatkan air masuk ke dalam perut kapal pe­ngangkut itu dan bilik enjin.

“Ia telah menyebabkan feri itu condong dan kita segera me­ngepam air keluar bagi membo­lehkan kerja pembaikan dibuat selain membaiki lubang bagi memastikan Feri Pulau Pinang kembali terapung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pasukan penguat kuasa menjalankan siasatan bagi mengetahui keadaan sebenar feri ikonik tersadai di Limbungan Bagan Dalam baru-baru ini.

Tambahnya, feri berkenaan termasuk beberapa yang lain dijangka diserahkan kepada pembida berjaya pada Julai ini.

Menurut Teik Cheng, feri itu tidak akan hanyut kerana berada di kawasan air cetek di Sungai Perai di Limbungan Bagan Dalam dan pajakan dilakukan untuk menjadikan feri itu sebagai muzium di Tanjung City Marina di George Town.

Difahamkan feri itu diletakkan di limbungan tersebut sejak November 2019 kerana kerosakan teruk dan kesukaran memperoleh alat ganti dari Belanda.

Terdahulu, beberapa keping gambar memaparkan Feri Pulau Pinang separuh tenggelam tular di media sosial sejak kelmarin sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak kerana mempunyai nostalgia tersendiri kepada warga Pulau Mutiara dan identiti pelancongan.

Ujar Teik Cheng, SPPP mempunyai enam buah feri ikonik dengan sebuah dihadiahkan kepada kerajaan negeri, feri pelancongan (2), restoran terapung (2) dan muzium (1).

Setakat ini, hanya Feri Pulau Angsa masih beroperasi bagi mengangkut motosikal dan basikal, manakala pejalan kaki diangkut dengan tiga feri bot laju

Perkhidmatan feri ikonik de­ngan dek dua tingkat yang boleh membawa penumpang serta kende­raan seperti kereta, motosikal dan lori itu te­lah dihentikan perkhidmatannya pada 31 Di­sember lalu.

Ia bagi memberi laluan kepada proses transformasi pengangkutan air di ne­geri ini yang lebih moden iaitu digantikan dengan perkhidmatan katamaran atau bas air menjelang Julai 2022.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI