fbpx

Avaa Vanja kembali, tak kisah dibenci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AVAA VANJA kini kembali beraksi menerusi naskhah Kampong Pisang Muzikal Raya dan Diva Popular.

PETALING JAYA – Setelah beberapa tahun hanya menumpukan kerja di belakang tabir, pelakon yang dikenali dengan watak antagonis, Avaa Vanja bersedia untuk sepenuhnya kembali mewarnai industri seni tanah air.

Pelakon berusia 41 tahun itu berkata, kepercayaan diberikan pengarah, Mamat Khalid untuk beraksi filem francais Kampong Pisang membuatkannya tekad untuk aktifi semula berlakon, sekali pun dicop sebagai pelakon jahat.

“Jauh di sudut hati, watak hitam yang cukup sinonim dengan saya suatu waktu dulu punya kepuasan untuk digali walau pernah berdepan kecaman serta kontroversi.

“Bukan sikit cemuhan pernah saya lalui namun saya anggap semuanya sebagai cabaran dalam merealisasikan tanggungjawab selaku pemegang peranan.

“Kalau tak berani atau sangsi pada bakat sendiri, mengapa kita perlu patah semangat?Jika dicemuh saya terima sebab bermakna penghayatan saya menjadi.

“Semua itu hanya di layar, bukan diri kita sebenar. Jadi saya tak takut untuk merebut apa juga peluang yang datang, lebih-lebih lagi watak antagonis,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sepanjang pembabitan dalam arena seni, aktres yang pernah diberi amanah mendendangkan lagu latar filem Estet itu kerap muncul di layar perak. Antaranya Sembilu, Kala Malam Bulan Mengambang, Dukun serta Hantu Kak Limah: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit

Hantu Kak Limah Balik Rumah yang juga arahan Mamat Khalid sekitar 2011 pula menjadi kemunculan terakhirnya dalam dunia perfileman.

Sekitar 2008 pula, kisah Avaa membawakan watak mubaligh Kristian dalam pementasan muzikal Ibu Zain di Istana Budaya pernah menjadi isu hangat.

Sementara itu, berkongsi lagi kisah, katanya Mamat menjadi individu yang ‘menariknya’ berlakon semula menerusi filem francais Kampung Pisang dengan terbaharu Kampung Pisang Musical Raya.

“Siapa tak rindu suasana di set dan pengalaman membuat persediaan mendalami watak? Apatah lagi saya mula berlakon sejak usia 16 tahun.

“Apa pun terima kasih kepada Abang Mamat sebab masih mempercayai kemampuan saya. Jika diberi amanah, saya sedia menggalas watak berat atau bermain dengan emosi.

“Jangan salah sangka, bukan bermakna saya antara anak emas Abang Mamat, cuma mungkin dia nampak saya masih mampu ‘memberi’ kepada industri.

“Barangkali produser lain sangka saya sudah tak berminat sebab ligat dengan kerja belakang tabir. Tapi syukur tawaran sudah bertambah.

“Jangan ingat saya tak mahu lagi dibenci. Serahkan saja watak hitam itu, saya sedia sahut cabaran. Begitu juga karakter berat,” katanya yang aktif mengendalikan bengkel lakonan.

Terbaharu, ibu kepada seorang cahaya maya itu dilamar membintangi drama bersiri Diva Popular yang sedang ditayangkan menerusi Awesome TV, manakala naskhah Selamat Jalan Cinta pula menunggu giliran untuk ditayangkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI