fbpx

George Town diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO terbaik Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebuh Armenian antara lokasi tumpuan pelancong berada di dalam kawasan tapak warisan dunia UNESCO di George Town.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi memperoleh pengiktirafan antarabangsa apabila media berpengaruh di India, Times of India menamakan bandar raya ini sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terbaik di Asia.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, George Town telah lama menjadi pilihan pelancong asing sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan.

“Pengiktirafan oleh Times of India ini telah membuktikan bahawa hala tuju pelancongan di negeri ini bergerak ke arah yang tepat.

“Kita berharap dapat berkongsi mengenai budaya masyarakat berbilang bangsa di negeri ini dengan pelancong dari seluruh dunia selepas sekatan pergerakan pelancong antarabangsa ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pulau Pinang tersenarai di tangga ketiga selepas Malta dan Mallorca, Sepanyol sebagai 15 pulau terbaik di dunia untuk menikmati usia persaraan bagi tahun 2021 menerusi artikel yang diterbitkan Travel Awaits.

Menurut Soon Hin lagi, menerusi statistik Penang Tourists Survey 2019, sebanyak 39.7 peratus pelancong antarabangsa dan 24.2 peratus pelancong domestik didapati mengunjungi Pulau Pinang untuk bersiar-siar di bandar raya ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan penggiat industri pelancongan yang berkait rapat dengan warisan budaya tempatan mempromosi perniagaan mereka secara dalam talian menerusi projek normal baharu yang dipelopori oleh Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI