fbpx

12 pekerja penghantar makanan dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

PETALING JAYA – Polis mengesahkan telah mengeluar 12 kompaun ke atas 12 pekerja penghantar makanan atas kesalahan makan secara berkumpulan tanpa penjarakan fizikal pada Selasa dan Rabu lalu.

Difahamkan, kesalahan dilakukan di sebuah taman permainan sekitar Taman Segambut dan di sebuah warung kosong di Batu 3, Jalan Ipoh selepas mereka tidak mengendahkan nasihat pihak berkuasa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lapan kompaun telah dikeluarkan pada Selasa lalu pada pukul 10.25 pagi di Taman Segambut manakala empat lagi pada Rabu pukul 3.55 petang di Jalan Ipoh.

“Lapan kompaun yang dikeluarkan itu dilakukan ke atas lapan individu yang bekerja sebagai penghantar makanan atas kesalahan makan secara berkumpulan tanpa menjaga penjarakan fizikal.

“Sementara empat lagi kompaun, membabitkan empat pekerja penghantar makanan di sebuah warung kosong di tepi jalan atas kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kesemua mereka telah dinasihatkan supaya mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tidak diendahkan.

“Polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta 342 untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP PKP dengan tidak berkumpul sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka,” jelasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam satu kenyataan semalam, merayu budi bicara pihak berkuasa dalam mengeluarkan kompaun ke atas pekerja penghantar makanan susulan aduan yang diterima pihaknya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI