fbpx

Laporan siasatan insiden pelanggaran LRT dibentang Rabu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penumpang yang mengalami kecederaan selepas tren LRT yang mereka naiki bertembung dengan tren lain berdekatan Stesen KLCC.- Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Laporan jawatankuasa siasatan berhubung insiden pelanggaran Transit Aliran Ringan (LRT) pada 24 Mei lalu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet, 9 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, laporan siasatan itu akan turut mengemukakan cadangan-cadangan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan awam dan seterusnya mencegah kejadian sama berulang.

Katanya, ketika menjalankan siasatan itu, jawatankuasa siasatan telah melaksanakan beberapa perkara termasuk menyemak prosedur operasi standard (SOP), Manual Operasi, ‘Rule Book’ dan dokumen-dokumen panduan operasi berkaitan.

“Data yang dikumpul daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), temu siasat bersama pihak berkaitan serta perbincangan teknikal lain yang berkaitan bersama pembekal teknologi turut terangkum dalam laporan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, satu lawatan turut diadakan ke pusat kawalan operasi (OCC) LRT Kelana Jaya di Lembah Subang pada Isnin lalu diikuti dengan sesi simulasi kemalangan di tempat kejadian oleh pihak Prasarana Malaysia Bhd pada hari sama.

“Lawatan ini bagi mendapatkan gambaran kejadian dengan lebih jelas berhubung insiden berkenaan.

“Jawatankuasa siasatan yang terdiri daripada sembilan orang ahli ini segera mengumpulkan segala dokumen, data dan maklumat berkaitan aspek teknikal dan keselamatan yang melibatkan kemalangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa siasatan insiden diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak itu ditubuhkan pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, jawatankuasa itu diberi masa 14 hari bagi melengkapkan siasatan insiden tersebut sebelum membentangkannya pada Kabinet.

“Tujuan penyiasatan menjurus kepada mengenal pasti hal keadaan dan punca sebenar pelanggaran tren 40 dan tren 81 di antara Stesen KLCC dan Kampung Baru (arah selatan).

“Penyiasatan yang dijalankan ini tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, kerajaan akan terus mencari jalan penyelesaian dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna pengangkutan awam yang sentiasa menjadi keutamaan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI