fbpx
PASUKAN TUDM memintas pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara negara pada Isnin lalu.

Insiden ceroboh boleh cetus provokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pencero­bohan pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara negara di Sabah melalui Laut China Selatan pada Isnin lalu mengundang curiga apatah lagi, isu tuntutan negara kuasa nuklear itu di wilayah perairan negara dibimbangi boleh mencetuskan ke­tegangan.

Ini bukan kali pertama pesawat PLAAF dikesan melalui ruang udara Malaysia, namun pendedahan insiden terbaharu oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kelmarin dilihat sebagai amaran terbuka.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, walaupun Kedutaan Besar China di Malaysia mendakwa penerbangan biasa, tindakan itu disifatkan berniat menakut-nakutkan negara sahabat.

“Kehadiran pesawat-pesawat PLAAF dalam jumlah besar di Laut China Selatan juga sesuatu yang di luar kebiasaan.

“Berdasarkan corak penerbangan, pesawat-pesawat itu dipercayai sedang melakukan operasi jarak jauh dan bukan berpangkalan di Laut China Selatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

China turut dikesan melakukan sebanyak 89 pencerobohan di perairan negara di Laut China Selatan dari tahun 2016 hingga 2019 apabila kapal Pasukan Pe­ronda Pantai republik itu merapati bot pasukan keselamatan negara termasuk melakukan provokasi.

Justeru, Zaki berkata, situasi­ terkini di Laut China Selatan membayangi provokasi Beijing di perairan yang merupakan la­luan perdagangan penting antara­bangsa.

Pada masa sama, pengusiran pesawat PLAAF yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu itu mempamerkan keupayaan TUDM untuk bertindak pantas memintas anasir yang mencurigakan.

Insiden itu seharusnya membuka mata banyak pihak yang sebelum ini mempertikaikan ke­perluan bajet pertahanan.

Selepas khidmat pesawat superioriti MiG-29N ditamatkan, keupayaan TUDM dilihat tidak seimbang berikutan program penggantian Fulcrum tertangguh lebih 10 tahun lalu.

Sementara itu, Penganalisis keselamatan dan pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor memberitahu, bajet yang terhad umpama ‘mengikat’ TUDM apabila tidak dapat berbelanja untuk mendapatkan aset-aset yang sepatutnya.

Ini kerana banyak senarai diingini pasukan itu diubah kerana perlu disesuaikan dengan kewa­ngan biarpun keperluan adalah mendesak misalnya penambahan skuadron pesawat pemintas dan pesawat tempur.

“Dalam insiden (pencerobohan ruang udara) ini, TUDM menghantar pesawat Hawk 200 untuk memintas, sedangkan ia bukan pesawat yang direka untuk tugas sedemikian walaupun dilengkapi senjata.

“Sekiranya TUDM memiliki pesawat pemintas sudah pasti ia juga memberi rasa gerun pada mana-mana anasir yang cuba-cuba memasuki ruang angkasa negara,” katanya kepada Kosmo!.

Mengulas lanjut, Muhammad Fuad berkata, pada tahun 1990-an misalnya, belanjawan pertahanan negara berjumlah kira-kira tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, namun ­angka itu semakin mengecil kepada satu peratus pada masa ini.

“Disebabkan kekangan kewa­ngan, TUDM terpaksa menukar cadangan membeli pesawat tempur dan digantikan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT),” katanya.

POPULAR