fbpx

Jadi ‘Ebit Lew’ pada diri sendiri, orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. HAIKAL ISA, WARTWAN EKSEKUTIF

PERIHAL perit ini semestinya sudah sampai dengan selamatnya ke pengetahuan kebanyakan daripada kita atau sesiapa yang membaca penulisan ini.

Kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula semalam (1 Jun) hingga 14 Jun ini.

Kita semua sedang sengsara disebabkan virus Covid-19, tetapi akan bertambah sengsara sekiranya total lockdown tidak dijayakan dengan sebetul-betulnya.

Untuk sekurang-kurangnya kembali seperti kehidupan lazim yang mana kita bebas keluar tanpa sekatan untuk mencari se­suap nasi, bertepuk-tampar dengan kawan-kawan yang kita sayang, main permainan dalam talian PlayerUnknown’s Battlegrounds di kedai mamak dan hal-hal lain yang dirindukan itu, perlukan sedikit perhatian dan pengorbanan

Ya, pengorbanan daripada rakyat dan juga pemerintah.

Tergantung kita semua. Kalau kita semua terus berdegil dan para pemimpin masih ligat berpolitik tidak tentu hala, kita barangkali akan terus setia berdamping dengan Covid.

Mungkin berbulan, mungkin bertahun-tahun. Nauzubillah, semoga dijauhkan.

Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Ada yang berkompang dengan berita berkenaan, ada yang memperkecilkan usaha kerajaan.

Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula akan menerima kadar sebanyak RM300.

Bagi golongan bujang seperti penulis, akan menerima RM100.

Rezeki jangan ditolak. Walaupun ada yang berpendapat kecil nilainya, mungkin besar buat orang yang lain.

Anda mungkin berkata, “eh sikitnya”, tetapi bagi orang lain, mereka lebih selesa mengucap “syukur Alhamdulillah ada rezeki”.

Jadi, berkompromi dan hormatlah nasib serta rezeki orang lain.

Pada waktu yang sangat mencabar sekarang, adalah penting untuk kita berpegang dan berhayun teguh dengan tanda pagar #KitaJagaKita.

Anda ada lebih rezeki, kongsikan dengan orang lain. Anda punya kuasa dan pengaruh untuk menyebarkan sesuatu perkara, gunakan pinjaman Tuhan itu dengan sebaik-baiknya.

Jadi ‘Ebit Lew’ buat diri sendiri dan orang lain. Kendirikan ‘Khairulaming’ dan sebarkan asbab kebaikan buat insan sekeliling sepertinya.

Tertarik dengan satu pesanan pendakwah bebas, Asni Abu Mansor berbunyi: “Waktu lockdown ini, harap tahan nafsu untuk tayang nikmat-nikmat. Kereta baharu, rumah baharu dan emas melingkau. Walaupun untuk tujuan pemasaran.

“Mungkin itu tanda aras kejayaan anda, tapi boleh bikin ‘koyak’ mereka yang tiada. Hormati perasaan mereka yang ke­sempitan. Sahaja aku bersabar untuk tayang nikmat kerana Allah Ta’ala. Moga tercatit sebagai ibadah. Bukan tak boleh tetapi bersabarlah dahulu. Bukan sekarang.”

Ebit Lew pun sampai ke Gaza, Palestin melestarikan pertolo­ngannya sesama manusia.

Bayang­kan kalau kita semua tidak pen­tingkan diri sendiri dan mula lazim dengan resmi, dalam rezeki kita, terselit rezeki orang lain juga pada waktu sama.

Malaysia akan jadi satu tanah yang lebih subur dan aman untuk didiami.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI