fbpx
Peminjam diberi pilihan moratorium 3 bulan atau pengurangan ansuran 50 peratus selama 6 bulan.–GAMBAR HIASAN

Hubungi bank untuk pilihan bantuan moratorium

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Peminjam yang ingin mendapatkan bantuan bayaran balik pembiayaan perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan bantuan yang bersesuaian, menurut Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).

AIBIM berkata, pilihan disediakan ialah moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan bayaran balik pembiayaan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Perdana Menteri dalam perutusan khas semalam telah mengumumkan bantuan bayaran balik pembiayaan kepada pelanggan di bawah kategori individu kehilangan pekerjaan; B40 (penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat); perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk memohon, pelanggan dalam kategori-kategori di atas diminta untuk menghubungi pihak bank dan kelulusan bagi setiap permohonan adalah automatik,” katanya menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan di sini.

Menurut AIBIM, bantuan bayaran balik pembiayaan turut diberi kepada semua pelanggan termasuk kumpulan M40 dan T20 yang mengalami pengurangan pendapatan.

Jelasnya, golongan tersebut boleh mendapatkan pengurangan bayaran balik pembiayaan selaras dengan jumlah pendapatan yang berkurang.

“Selain itu, penerima bantuan bayaran balik bersasar sebelum ini (sehingga Jun 2021) boleh menghubungi pihak bank sekiranya masih terkesan dan memerlukan bantuan lanjutan.

“Bantuan ini akan tersedia untuk golongan yang terjejas selagi ia diperlukan.

“Bank-bank ahli yang bernaung di bawah AIBIM terus komited untuk membantu para pelanggan yang terkesan dan berdepan kesulitan bagi membuat bayaran balik pembiayaan,” katanya.

POPULAR