fbpx

Buruh maut disambar petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut disambar petir ketika sedang melakukan kerja menuang konkrit di sebuah tapak pembinaan di Skudai, Johor, petang kelmarin. - FOTO: IHSAN JKKP

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kontraktor warga Bangladesh maut selepas disambar petir ketika melakukan kerja di sebuah tapak pembinaan di Taman Industri Jaya, Skudai, kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, mangsa yang maut berusia 39 tahun sedang melakukan kerja menuang konkrit menggunakan kaedah ‘bucket transfer’ dan kren berantai.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir. Mohd. Rosdee Yaacob berkata, siasatan awal mendapati cuaca ketika itu mendung sebelum berlaku dentuman kuat semasa mangsa sedang melakukan kerja.

“Mandur dan rakan sekerja mangsa mengesahkan kren berantai yang sedang digunakan itu disambar petir manakala mangsa rebah di lokasi berhampiran dengan kesan koyakan pada baju dan seluar.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.40 petang di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Rosdee berkata, susulan kejadian itu, pihaknya mengeluarkan dua notis larangan mengarahkan majikan mengambil tindakan serta-merta bagi mengadakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif dan Kawalan Risiko dan Prosedur Kerja Selamat (SOP) bagi aktiviti kerja penuangan konkrit.

“Dua lagi notis dikeluarkan adalah notis pembaikan untuk majikan mengemukakan laporan siasatan dalaman kejadian dan laporan lengkap berkaitan peranti keselamatan yang dipasang pada kren berantai tersebut,” ujarnya.

Mohd. Rosdee turut memberitahu, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan memikul tanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam,” jelasnya. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI