PETALING JAYA – Penyanyi Nourul Depp meminta kerajaan Malaysia mencontohi Indonesia dalam memudahkan proses pemberian vaksin secara sistematik dan efisien kepada rakyat.
Nourul menerusi ciapan dalam Twitternya memberi pendapat dan cadangan tersebut kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selepas melihat proses pengagihan vaksin yang agak kucar-kacir dan menimbulkan amarah rakyat sebelum ini.
“Terbaca satu ciapan rakyat Indonesia. Mereka buka je hospital dan klinik. Walk in je ambil vaksin. Tiada apps (aplikasi) atau apa-apa yang sofistikated.
“Dah berjuta rakyatnya divaksin. Rasanya lebih mudah macam tu. Klinik desa pun banyak. Kami tahulah kami lahir di klinik desa. Gunakan kemudahan ini semua. Hanya pendapat saya sebagai rakyat biasa,” tulisnya.
Noorul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 44, turut menyarankan agar PPV tidak terus merumitkan pemberian vaksin kepada rakyat menerusi pendaftaran melalui aplikasi kerana masih ada yang tidak tahu menggunakannya terutamanya golongan warga emas.
Pada hantaran sama, pelantun lagu Kerana Terluka itu turut meluahkan rasa kagum dengan pengedaran vaksin di Indonesia yang dilihat lebih efisien dan menyeluruh berbanding Malaysia.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menjalankan program vaksinasi secara berperingkat dengan membuka permohonan kepada rakyat Malaysia menerusi laman web PPV dan aplikasi MySejahtera.-K! ONLINE