fbpx

Salah cakap sikit terus tular – Iman Troye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMAN TROYE

MEKAR dengan Teman dan Pejam Celik Hari Raya, pemilik nama pentas Iman Troye terus memahat nama dalam industri hiburan tanah air.

Pada usia 19 tahun dengan hayat karier baru setahun jagung, gadis itu sudah berada di puncak kerjaya.

Berbicara dengannya, meskipun tanpa bersua muka, penyanyi kecil molek itu ternyata basah dalam santun dan sifat ramah-tamahnya, masih sama seperti dahulu.

Tidak sedetik pun kedengaran nada angkuh sepanjang berbual dengan pemilik nama penuh Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin meskipun popularitinya kini dalam genggaman,

Masakan tidak, kedua-dua lagunya berjaya menduduki carta-carta radio dan tular dalam semua platform media sosial. Bukan mudah untuk seorang penyanyi muda meraih pencapaian sebegitu.

Tidak keterlaluan sekiranya melabelkan gadis genit ini sebagai penyanyi fenomena alaf baharu berdasarkan karyanya yang digilai golongan muda zaman kini.

DUA lagu menjadi fenomena dalam semua platform media sosial, Iman bersyukur kehadirannya dalam industri hiburan tanah air disambut baik ramai pihak.

Masih merangkak

Bertanyakan sama ada selesa dicop sebagai idola remaja masa kini, anak kelahiran Selangor itu bagaimanapun berasakan belum layak untuk memegang gelaran tersebut.

“Idola (ketawa)? Saya masih sangat baharu dalam industri, tidak layak langsung nak beri gelaran yang begitu besar.

“Jika nak namakan diri sendiri sebagai selebriti juga tidak setimpal dengan pengalaman setahun jagung saya. Rasanya masih tidak boleh pegang gelaran tersebut lagi,” katanya kepada HibGlam dalam nada merendah diri.

Bahkan, dia juga mengakui masih perlahan-lahan mencari rentak dan tapak yang stabil untuk memahat nama.

Iman bagaimanapun berterima kasih kepada pihak yang menjadikannya sebagai idola meskipun menyedari terlalu kerdil untuk menerima perkara tersebut.

“Jujurnya, tahap saya ketika ini adalah masih merangkak, tidak mampu berdiri sendiri lagi.

“Saya sedar diri tidak layak menjadi idola tetapi ingin terus menjadi contoh yang baik untuk golongan muda zaman sekarang.

“Rasanya dengan platform yang saya miliki, banyak perkara baik boleh disebarkan. Insya-Allah saya cuba jadi contoh yang bagus,” tuturnya.

IMAN berterima kasih kepada pihak yang menjadikannya sebagai idola meskipun menyedari terlalu kerdil untuk menerima perkara tersebut.

Tidak dikongkong keluarga

Dijadikan sebagai contoh golongan muda berjaya bukanlah satu perkara yang mudah, namun Iman bersyukur masih punya keluarga yang memantau kehidupan hariannya.

Katanya, setiap perkara yang dilakukan termasuklah laman media sosialnya turut dipantau ahli keluarga.

“Mungkin ramai yang perasan saya jarang memuat naik luahan hati dan sebagainya, sebab semua dikawal oleh ahli keluarga.

“Mereka bimbang jika saya terlalu melempiaskan emosi dalam media sosial, benda itu akan ‘makan’ diri, sekali gus menganggu perjalanan karier,” katanya.

Tidak merasakan perhatian keluarga tersebut sebagai beban, Iman bersyukur kerana memiliki ibu bapa yang prihatin dengan setiap gerak-gerinya.

“Saya tidak rasa tindakan mereka sebagai dikongkong kerana percaya semuanya demi kebaikan saya.

“Mereka akan menegur jika saya buat silap, tak pernah sekali pun mereka terlepas pandang,” katanya lagi.

Akuinya, dia juga seorang manusia yang kerap melakukan kesilapan dan terbawa-bawa emosi amarah ke dalam media sosial.

“Kadangkala terlepas juga sesetengah perkara. Jika sangat sensitif, mereka (keluarga) akan minta saya padamkan.

“Bagus juga ada pemantau, tidaklah saya hanyut dengan emosi sendiri. Sekarang, cakap salah sikit terus tular,” ujarnya.

PENYANYI yang diberi jolokan sebagai Nabila Razali 2.0 itu menyifatkan dirinya belum layak memegang gelaran selebriti atau idola ramai kerana masih terlalu hijau dalam dunia hiburan.
– Foto ihsan X.O House & FARIZWAN HASBULLAH

Fenomena single ketiga

Menzahirkan kesyukuran, Iman tidak menyangka lagu raya pertama miliknya tular dan diterima ramai.

Tiada niat untuk bersaing dengan lagu-lagu raya nostalgia, dia bagaimanapun bersyukur kerana berpeluang membawa satu nafas baharu dalam karya tempatan.

“Tak sangka pula lagu Pejam Celik Hari Raya menjadi fenomena pada sambutan hari raya tahun ini. Syukur dengan rezeki ini,” ujarnya lagi.

Bercerita mengenai single ketiga, Iman bakal melancarkan naskah tersebut tidak lama lagi.

“Pada halwa telinga saya, single ketiga yang bakal dilancarkan sangat istimewa kerana sekali lagi mendapat sentuhan Ezra Kong.

“Lagu ketiga bakal disuntik dengan elemen muzik Jawa. Pop etnik, itu frasa paling sesuai untuk lagu tersebut” tuturnya yang kini sedang menyambung pelajaran dalam jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara(UiTM), Shah Alam itu.

BERDEBAR untuk melihat reaksi peminat, penyanyi naungan syarikat rakaman X.O House itu berharap single ketiganya mencapai tanda aras setanding lagu Teman dan Pejam Celik Hari Raya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga mengakui berdebar dengan penerimaan pendengar terhadap lagu ketiganya nanti.

“Selepas dua lagu terdahulu tular dengan jutaan tontonan, saya jadi takut untuk melancarkan single ketiga.

“Risau pendengar telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi terhadap lagu saya selepas ini. Jika tidak capai tanda aras itu, mereka kecewa. Ini yang paling ditakuti,” ujarnya lagi.

Meski kebimbangan menghantui dirinya, dia tetap percaya dengan rezeki yang diberi Tuhan.

Sekiranya single ketiga tidak hit, Iman mahu terus berusaha bagi meraih impiannya untuk bergelar seorang penghibur satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI