fbpx
Uncle Kentang dijadual menerima anugerah Point of Light di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir Ratu Elizabeth II pada 12 Jun 2021.

Uncle Kentang terima anugerah dari Ratu Elizabeth II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bakal menerima anugerah ‘Point of Light’ dari Ratu Elizabeth II atas sumbangannya kepada masyarakat dalam melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan.

Chee Heng, 58, berkata, beliau mendedikasikan anugerah itu kepada semua rakyat Malaysia yang bersikap prihatin dalam menghulur sumbangan dan sokongan bagi menjayakan misi bantuan yang dilancarkannya.

“Saya dengan rendah diri memaklumkan penghargaan itu bukan untuk saya sendiri tetapi ia adalah hak anda semua dan hak rakyat Malaysia.

“Maka itu saya hanyalah wakil yang hadir untuk menerima anugerah tersebut di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir baginda pada 12 Jun ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook semalam.

Beliau berharap anugerah itu dapat menjadi penguat semangat kepada masyarakat untuk membina sebuah negara majmuk yang bersolidariti serta serta saling bantu-membantu tanpa mengira kaum, agama, politik dan darjat.

‘Point of Light’ merupakan anugerah yang dikurniakan kepada individu dari negara anggota Komanwel sebagai tanda pengiktirafan kerja sukarelawan insan yang membuat perubahan dalam komuniti mereka.

Beliau menjadi rakyat Malaysia keempat menerima anugerah tersebut dengan antara penerima terdahulu ialah doktor patung beruang, Dr. Madhusudhan Shanmugam dan penyelidik tuntung, Dr. Chen Pelf Nyok. – K! ONLINE