fbpx

Satu lagi kes rabies di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Satu lagi kematian kes rabies dilaporkan di Sarawak melibatkan seorang wanita berusia 45 tahun yang meninggal dunia pada 6 Mei lalu, menjadikan tiga kes rabies dilaporkan di negeri tersebut pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, wanita tersebut tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus, Selangau, Sarawak mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaannya di tangan kiri.

Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa wanita itu meleraikan anjing tersebut yang sedang berlawan dengan anjing lain pada 9 Mac lalu.

“Mangsa telah mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari yang sama. Rawatan luka dilakukan, suntikan anti-tetanus telah diberikan dan janji temu susulan diberikan.

“Malangnya mangsa tercicir daripada rawatan susulan. Setelah berjaya dikesan, kes diberi suntikan vaksin antirabies dos pertama pada 29 April lepas,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei lalu sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan.

“Sampel klinikal ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei lalu. Keadaan pesakit semakin merosot dan kes meninggal dunia pada 6 Mei pukul 7:13 pagi dengan diagnosis rabies encephalitis,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, sebanyak 34 kes dilaporkan dengan 32 kematian manakala, terdapat dua kes kanak-kanak masih hidup dengan komplikasi neurologi yang teruk.

“Apabila jangkitan virus rabies berlaku di luka gigitan haiwan tidak diambil tindakan rawatan segera, ia akan menyebabkan kematian sekiranya jangkitan sampai ke otak.

“Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang awam khususnya di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies,” jelasnya.  -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI