SHAH ALAM – Perbincangan kedudukan Nilai 3 yang hangat diperkatakan susulan pasangan selebriti sensasi Neelofa dan Haris Ismail tidak didakwa atas kesalahan rentas negeri turut menarik perhatian Menteri Besar (MB) Selangor dan Negeri Sembilan.
Malah kedua-dua MB itu secara berseloroh seperti ingin menjual beli kawasan tersebut.
Ini berdasarkan ciapan MB Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terlebih dahulu yang menceritakan sejarah Nilai 3 sebelum diserahkan kepada Negeri Sembilan.
“Melihat ejekan- ejekan yg melintas di garis masa tentang Nilai 3 dalam wilayah Selangor, telah memutar ingatan saya tentang Lukut yang pernah dalam jajahan pentadbiran Selangor sebelum diserah ke pemerintahan Sungai Ujong Negeri Sembilan dalam satu perjanjian pada tahun 1880,” ciapnya.
Sungai Ujong kini merupakan Seremban yang merupakan ibu negeri bagi Negeri Sembilan.
Ciapan tersebut menarik perhatian MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berseloroh seperti ingin menjual Nilai 3.
“Berapa harga hendak beli Nilai 3 ya ?, he he he,” ciapnya.

Amirudin kemudiannya membalas dengan “Hahahahaha kena bincangan dengan jurunilai,” jelasnya.
Tidak berakhir di situ, Aminuddin pula membalasnya berserta emoji ketawa.
“Kejap saya ukur Nilai 3 dulu?, ” katanya.
Ciapan-ciapan itu turut menarik perhatian pengguna Twitter lain iaitu Adam Imran yang meminta agar tidak menjual nilai 3.
“Saya gurau sahaja, haha,” jelas Aminuddin.
Terdahulu, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap pasangan suami isteri itu selepas video pasangan itu sedang membeli karpet di Nilai 3 tular.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian dan keterangan yang diperoleh berhubung kes berkenaan. – K! ONLINE