LANGKAWI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati lemas setelah terjatuh ke dalam saluran longkang bertutup berhampiran Masjid Bukit Malut di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Raziq Najwan Mohamad Ropi dari Kampung Tanjung Lembung, Mukim Ulu Melaka di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 1.50 tengah hari.
Katanya, mangsa sebelum kejadian dipercayai bermain air hujan di hadapan masjid tersebut bersama beberapa kanak-kanak lain.
“Selepas terjatuh, mangsa dihanyutkan air sejauh kira-kira 100 meter.
“Kejadian berlaku ketika hujan lebat,” katanya di sini hari ini.
Ujar beliau, pihak polis, bomba dan orang awam berusaha mencari mangsa sebelum kanak-kanak terbabit ditemui kira-kira pukul 2.15 petang ini.
“Pihak hospital yang tiba dengan ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” jelasnya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha di sini untuk dibedah siasat.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE














