fbpx
Antara dadah dan barang rampasan polis.

Dua sindiket tumpas, rampas dadah bernilai RM14.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dua sindiket yang aktif melakukan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang tumpas dengan nilai keseluruhan bahan terlarang itu bernilai RM14.5juta di empat lokasi berasingan selama dua hari, baru-baru ini.

Serbuan pada 17 dan 18 Mei lalu itu turut menahan lapan lelaki berusia berusia 24 hingga 45 tahun menerusi operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Selangor.

Dadah dirampas masing-masing melibatkan 170kilogram (kg) syabu, 147.05 kg heroin, 524 biji pil ekstasi dan 1.45gram ganja dengan kedua-dua sindiket itu telah beroperasi selama tiga hingga lima bulan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kesemua dadah itu diperolehi dari negara jiran sebelum dilakukan pembungkusan oleh suspek berkenaan untuk pengedaran dadah.

“Berdasarkan serbuan pertama dilakukan JSJN Bukit Aman di sebuah kondominium dan rumah teres dua tingkat di Kinrara membawa penemuan syabu seberat 39.5 kilogram (kg), heroin (90.81kg), 524 biji pil ekstasi dan ganja (1.45gram).

“Dua suspek ditangkap di lokasi tersebut selebihnya empat orang lagi di Brickfields dan Subang Jaya,” katanya pada sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, operasi kedua yang dijalankan JSJN Selangor keesokkan harinya membawa penahanan dua lelaki daripada sindiket berlainan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan kondominium di Seri Kembangan.

Kata Arjunaidi, pihaknya merampas sebanyak 130.54kg syabu dan 56.24 kg heroin dengan enam daripada keseluruhan suspek ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripadanya positif ganja.

“Nilai keseluruhan sitaan dalam kedua-dua kes itu bernilai RM1.39juta seperti tiga buah kereta masing-masing jenis Honda CRV, Volkwagen Polo dan Perodua Myvi selain tiga buah motosikal jenis Yamaha NVX 155, Y15ZR dan Y125ZR serta barang kemas,” jelasnya.

Beliau berkata, keseluruhan dadah itu mampu dibekalkan kepada lebih 2 juta penagih dadah sehari.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengenai rangkaian sindiket ini dan kesemua suspek direman selama dua hingga tujuh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI