fbpx

RM2.1 bilion untuk bina semula Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bangunan di Semenanjung Gaza selepas tentera Israel berterusan membedil wilayah itu. – AFP

KAHERAH, MESIR – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berikrar memperuntukkan dana berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion) dalam usaha membangunkan semula Semenanjung Gaza yang musnah akibat serangan Israel, lapor portal berita Wion News semalam.

“Mesir akan menyediakan dana berjumlah AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk kerja-kerja membina semula Semenanjung Gaza yang telah musnah.

“Proses-proses pembinaan akan dilakukan dengan bantuan syarikat-syarikat pembinaan dari Mesir,” kata Abdel Fattah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat rasminya di Facebook.

Beliau kini berada di Paris, Perancis bagi menghadiri sesi persidangan tiga pihak dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Raja Jordan, Raja Abdullah II yang bertujuan mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik di Palestin.

Mesir sebelum ini telah menghantar 65 tan bantuan perubatan ke Gaza selain membuka pintu sempadannya di Rafah bagi membawa masuk penduduk Gaza yang cedera untuk dirawat di hospital di Mesir.

Sumber di Rafah turut memberitahu sebanyak 26 buah lori yang membawa makanan turut dihantar ke Semenanjung Gaza dengan 50 buah ambulans turut bersedia untuk mengangkut penduduk yang tercedera.

Dalam pada itu, menurut laporan majalah Egypt Today, Dewan Parlimen dan Senat Mesir menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman Abdel Fatah dalam memperuntukkan dana bantuan kepada Palestin.

Kedua-dua dewan itu akan memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sebagai usaha berterusan kerajaan Mesir dalam membantu penduduk Palestin yang mencerminkan pendirian tegas negara itu dalam mendukung perjuangan rakyat Palestin.

Konflik berdarah terburuk Palestin bermula sejak 10 Mei lepas apabila tentera Israel secara berterusan membedil Semenanjung Gaza yang setakat ini meragut sehingga 236 nyawa serta mengakibatkan 6,278 kecederaan setakat ini.

Serangan udara yang dilancarkan Rejim Zionis itu turut mengakibatkan kemusnahan kepada lebih 200 kediaman di Semenanjung Gaza dan 31 institusi pendidikan termasuk sekolah, kolej dan pusat latihan vokasional.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 40,000 penduduk Palestin terpaksa melarikan diri manakala 2,500 lagi kehilangan tempat tinggal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI