fbpx

Laporan palsu hilang kad pengenalan meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Laporan palsu kehilangan kad pengenalan di Selangor meningkat kepada 108 kes dalam tempoh empat bulan tahun ini berbanding hanya 60 kes bagi keseluruhan tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, daripada jumlah keseluruhan laporan palsu diterima itu mendapati sebanyak 86 kes telah dituduh di mahkamah manakala 82 kes masih dalam siasatan.

Katanya, berdasarkan siasatan mendapati penyebab utama laporan palsu itu adalah kerana denda yang dikenakan bagi setiap kehilangan kad pengenalan itu sekiranya berpunca daripada kecuaian.

“Bagaimanapun pengecualian denda diberikan terhadap kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut.

“Ekoran itu, terdapat segelintir orang ramai membuat laporan palsu semata-mata untuk mengelakkan dikenakan denda dan sering mengaitkan kehilangan kad pengenalan dengan menjadi mangsa jenayah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan kadar bayaran denda ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara adalah kehilangan kes kecuaian sendiri kali pertama adalah pada kadar RM100, kali kedua (RM300) dan ketiga serta seterusnya RM1,000.

Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai tidak membuat laporan palsu demi untuk kepentingan peribadi.

“Kesahihan atau kebenaran sesuatu laporan polis akan diketahui selepas siasatan terperinci dilakukan dalam mengetahui laporan itu benar atau rekaan semata-mata.

“Mana-mana individu yang didapati membuat laporan polis palsu boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, sekiranya disabitkan kesalahan,” jelasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI