fbpx

Hanya 3.3% rakyat Selangor divaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Jumlah penduduk di Selangor yang me­nerima vaksin dianggap terlalu kecil ketika kes positif harian di negeri itu semakin me­ningkat mencecah empat angka setiap hari.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, setakat 17 Mei lalu, hanya 3.3 peratus atau kira-kira 220,000 daripada keseluruhan jumlah penduduk di Se­langor telah menerima vaksin.

Katanya, jumlah itu adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan nisbah penduduk di ne­geri berkenaan yang mencecah 6.7 juta orang.

“Kerajaan Pusat perlu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk meng­gagas jumlah vaksin yang diperlukan bagi ‘memagar’ penduduk negeri itu supaya angka kes ha­rian tidak bertambah.

“Sehingga 17 Mei lalu, hanya 3.3 peratus penduduk Selangor telah divaksin dan jumlah itu sangat rendah berbanding negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah,” katanya pada sidang akhbar menerusi Facebook Live di sini semalam yang turut disertai Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, jumlah vaksin yang perlu diberikan kepada rakyat di Selangor perlulah mengikut nisbah kepadatan penduduk bagi mengekang pertambahan jumlah kes harian.

Untuk rekod, berdasarkan infografik Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada 17 Mei lalu, seramai 761,263 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 1,234,630 individu yang menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah 1,995,893 dos.

Berdasarkan data tersebut, Selangor merekodkan pemberian lengkap dua dos vaksin ter­tinggi iaitu 103,981 orang, diikuti Kuala Lumpur (81,009), Sarawak (71,969) dan Johor (70,488).

Sehingga semalam juga, seramai 10,288,034 individu di seluruh negara sudah mendaftar suntikan vaksin dengan Selangor turut merekodkan jumlah ter­tinggi iaitu 6,663,921 orang.

Dalam pada itu, Dr. Siti Mariah mengesahkan kerajaan negeri telah membuat pembelian 2.5 juta dos vaksin Covid-19 menerusi Selgate Corporation bagi membantu hampir sejuta golongan pekerja yang menyumbang kepada 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Jelasnya, sekiranya kerajaan negeri mengambil sikap me­nunggu semua vaksin diberikan secara percuma daripada Kerajaan Pusat, ia dibimbangi akan mengakibatkan sektor ekonomi negara menjadi lumpuh.

Menurutnya, berdasarkan pelan pemberian vaksin yang diumumkan kerajaan, ia mempunyai fasa dan diberikan mengikut keutamaan seperti petugas barisan hadapan, golongan beri­siko dan sektor ekonomi ini akan menjadi golongan akhir untuk menerimanya.

“Oleh itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif membeli dos vaksin ini dan setakat ini, sebanyak 3,500 majikan juga sanggup membelinya kerana mereka hendak cepat,” ujarnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI