fbpx

Connecticut tawar bonus RM4,000 untuk penganggur kembali bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lamont berkata, langkah itu diambil untuk memaksimumkan pemulihan negeri Connecticut akibat wabak Covid-19. - John Moore/Getty Images/New York Post

HARTFORD, CONNECTICUT – Kerajaan negeri Connecticut mengumumkan program pembayaran bonus berjumlah AS$1,000 (RM4,127) kepada penganggur di negeri itu yang boleh bekerja secara tetap selama lapan minggu, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Pembayaran bonus menerusi program terbaharu itu diperkenalkan untuk menggalakkan penduduk negeri itu yang telah lama menganggur agar kembali bekerja dalam situasi pemulihan selepas pandemik Covid-19. 

“Ini merupakan langkah terbaharu kami untuk memaksimumkan pemulihan negeri ini daripada wabak Covid-19,” ujar Gabenor Connecticut, Ned Lamont dalam satu kenyataan.

Bagi melayakkan seseorang itu menerima pembayaran bonus tersebut, mereka dikehendaki mengisi borang tuntutan tidak bekerja pada 24 Mei ini dan seterusnya bekerja secara tetap dalam tempoh lapan minggu berturut-turut sebelum hujung tahun ini tanpa berhenti kerja.

Connecticut telah menambah 17,000 peluang pekerjaan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, namun menurut Lamont, terdapat 65,000 tawaran kerja kosong di negeri itu buat masa ini.

Connecticut bukan negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan program seumpama itu.

Sebelum ini, beberapa negeri telah melaksanakan langkah serupa seperti Idaho yang menawarkan pembayaran bonus berjumlah AS$1,500 (RM6,190) pada tahun lepas.

Ini diikuti dengan Montana yang menawarkan bonus sebanyak AS$1,200 (RM4,952) pada awal bulan ini serta Arizona yang mengumumkan pembayaran berjumlah AS$2,000 (RM8,254) pada minggu lepas.

Kesemua pembayaran bonus itu ditawarkan kepada penganggur yang dapat melengkapkan pekerjaan tetap mereka dalam tempoh masa tertentu. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN